PKS terumbang-ambing dibadai gelombang ketiga Covid-19
Iklan
APABILA tamatnya moratorium pinjaman enam bulan pada September lalu, banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kembali membayar pinjaman mereka, tetapi ia tidak bermakna situasi sudah bertambah baik, kata pemimpin persatuan.
Banyak PKS yang memilih untuk menyambung semula pembayaran kerana perniagaan bertambah baik di bawah perintah kawalan pergerakan yang dilonggarkan dan mereka juga tidak mahu terus menanggung pertambahan faedah pinjaman.
Bagaimanapun, wujud kebimbangan yang perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di kawasan indusri utama negara, Lembah Klang akan dilanjutkan yang boleh menyebabkan PKS berdepan masalah baharu aliran tunai.
Presiden Persatuan PKS Malaysia Michael Kang berkata keputusan Putrajaya membenarkan hampir semua aktiviti ekonomi beroperasi semula membolehkan PKS kembali membayar pinjaman mereka.
“Sekurang-kurangnya 50% ahli kami sudah kembali membayar balik pinjaman mereka. Jika mereka tak bayar, mereka terpaksa tanggung lebih banyak faedah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Manakala, 30% lagi ahli persatuan juga memohon penstrukturan semula pinjaman mereka.
Pada 14 Oktober lalu, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia Jessica Chew berkata jumlah keseluruhan pembayaran semula pinjaman sudah mencapai 70% berbanding kadar sebelum tempoh morotarium dikuatkuasa.
Data BNM juga menunjukkan dua juta peminjam sudah berhubungan dengan bank pada akhir September, daripada jumlah itu 540,000 memohon penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman, 98% permohonan sudah diluluskan.
Kang, bagaimanapun, mendedahkan yang sekitar 20% ahli persatuannya berharap morotarium pinjaman akan dilanjutkan apabila Belanjawan 2021 dibentangkan Jumaat ini kerana mereka masih berdepan masalah aliran tunai.
“Bagi sebilangan ahli (orang), perkara terburuk masih belum berlaku,” kata Kong
Ini termasuklah PKS sektor pelancongan dan perkhidmatan yang paling terjejas kerana pandemik Covid-19. Mereka tidak menerima pelanggan langsung antara Mac dan Jun, malah sentimen pengguna pada Julai dan Ogos masih lagi tidak memberangsangkan.
Pelanggan masih belum bertambah, ketika gelombang ketiga jangkitan bermula pada September.
Kang menggesa kerajaan untuk menyalurkan lebih banyak bantuan kepada PKS di bawah Belanjawan 2021.
“Tahun ini adalah untuk PKS bertahan. Mereka perlu menyesuaikan dan mengubah model perniagaan mereka untuk terus bertahan.
“Bolehkah belanjawan untuk tahun depan menjadikannya tahun pemulihan dan transformasi? Ini dapat membantu membuka hartanah korporat dan pasaran antarabangsa,” katanya.
Kang juga berkata ketika PKPB yang dikuatkuasakan di Selangor dan Kuala Lumpur tidak banyak menjejaskan aktiviti ekonomi, ia tidak sama dengan negeri lain yang bergantung kepada kuasa membeli penduduk di Lembah Klang, yang kini tidak dapat melakukan perjalanan domestik ketika PKPB di Lembah Klang.
Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) juga mendapati ahlinya mahu moratorium pinjaman dilanjutkan.
Kira-kira 69.2% daripada 91% responden dalam kali selidik menyatakan mereka mahu ia dilanjutkan.
Mereka juga tidak menyatakan situasi aliran tunai mereka telah pulih, dan mereka juga tidak sanggup untuk membayar faedah berlebihan.
Pengerusi Jawatankuasa SME ACCCIM Koong Ling Long mengatakan hasil tinjauan persatuan telah diserahkan kepada BNM sebagai input.
“Sejak moratorium tamat pada September, banyak perniagaan menyatakan mereka boleh membayar pinjaman pada Oktober, namun masih ada kumoulan yang mahukan lanjutan.
ACCCIM turut mendapati ada ahlinya mengalami masalah ketika membincangkan mengenai lanjutan moratorium bagi pinjaman mereka dengan bank. Ini termasuklah:
- meminta PKS mengambil pinjaman jangka pendek, dengan kadar faedah tinggi untuk membayar pinjaman sedia ada;
- menasihati pemohon agar tidak melakukan penangguhan moratorium kerana akan mempengaruhi skor kredit mereka;
- menawarkan untuk penstrukturan semula tetapi tidak melanjutkan pinjaman;
- dokumen lain diperlukan oleh bank yang berbeza; dan
- proses permohonan yang panjang dan terlalu banyak dokuman sokongan yang diperlukan.
Koong berkata bagi sesetengah PKS, walaupun di Kuala Lumpur dan Selangor mereka dibenarkan beroperasi ketika PKPB, masalah aliran tunai tidak selesai.
Ini kerana ia lebih dipengaruhi oleh sentimen pengguna berbanding sekatan pergerakan itu sendiri, memandangkan kerajaan membenarkan hampir semua aktiviti ekonomi untuk beroperasi.
“Dengan gelombang ketiga Covid-19 pada September dan Oktober, keadaan kembali teruk apabila pemintaan kurang. Orang ramai kini enggan keluar dan berbelanja kerana bimbang dengan pandemik.”
Koong berkata PKS perlu pergiatkan usaha pendigitalan kerana bank menawarkan bantuan kewangan khas untuk tujuan ini, dan menambah perniagaan perlu mengambil peluang ini apabila berbincang mengenai lanjutan moratorium mereka. – 4 November, 2020.