Industri hotel harap insentif dalam Belanjawan 2021 untuk terus bertahan
Iklan
INDUSTRI perhotelan berharap kerajaan memperkenalkan insentif segera dalam Belanjawan 2021 akan datang bagi membolehkan mereka bertahan dalam tempoh Covid-19 yang mencabar ini.
Mereka berkata gelombang ketiga Covid-19 menjejaskan perniagaan dan diri mereka secara individu.
Justeru, Putrajaya perlu membantu mengurangkan beban aliran tunai bagi mereka yang terjejas.
Mereka mahu kerajaan mencadangkan pelepasan cukai dan langkah pengecualian bagi membantu industri mengatasi kesulitan ketika mengumumkan belanjawan kelak.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng menegaskan kebimbangan terbesar mereka mengenai penangguhan bayaran oleh pihak bank.
Beliau berkata syarat semasa yang dikemukakan beberapa bank tidak kondusif bagi mereka, menyebabkan peniaga berhutang lebih banyak.
“Kami berharap kerajaan akan mengkaji dan melaksanakan program bantuan segera untuk industri hotel secepat mungkin sebelum industri hotel runtuh. Jika tidak, pembangunan semula akan memerlukan lebih banyak perbelanjaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau juga berkata pengusaha hotel berharap kerajaan dapat memberikan pelepasan cukai dan konsesi, serta menyusun semula percukaian industri pelancongan dan hotel.
Beliau menambahkan bahawa cukai dan perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh pengusaha hotel termasuk cukai penjualan dan perkhidmatan (SST), cukai pelancongan, digital dan perbelanjaan promosi pelancongan.
“Lihat Belanjawan 2021 secara holistik, kami menggesa kerajaan menekankan kepada pelaksanaan dan penguatkuasaan industri secara keseluruhan bagi memastikan inisiatif dan usaha mencapai kelompok sasaran yang tepat terutama terjejas kesan buruk pandemik Covid-19.
“Pertama sekali, kurangkan kos menjalankan perniagaan, industri ini berharap lebih banyak pelepasan dan insentif cukai, tiada waktu lebih baik untuk memperkenalkannya selain sekarang.
“Ini disertai pengkelasan semula tarif elektrik bagi hotel kepada industri dan bukannya komersial di samping melanjutkan dan meningkatkan diskaun utiliti semasa untuk premis pelancongan, serta penstrukturan semula cukai keseluruhan yang melibatkan industri pelancongan dan hotel.”
Kedua, Yap berkata kerajaan juga harus mengakui industri pelancongan dan hotel masih sangat lemah dan rapuh.
Industri ini juga masih sangat sensitif terhadap perubahan situasi dan tidak dapat bertahan sendirian.
“Bantuan subsidi gaji sekarang tidak mencukupi, kerana jumlah yang sama dilanjutkan kepada industri lain sementara pelancongan terkena kesan lebih awal dan lebih teruk berbanding industri lain, dan yang terakhir akan pulih.
“Kami sebelumnya sudah mencadangkan sistem subsidi upah bertingkat untuk industri pelancongan, 50% untuk pekerja dengan gaji hingga RM4,000 dan 30% untuk mereka dengan gaji RM4,001 hingga RM8,000.
“Ini adalah model yang sudah terbukti di negara lain seperti Singapura, Kanada, Australia dan juga United Kingdom dengan peratusan subsidi upah jauh lebih tinggi,” katanya.
Ketiga, peruntukan belanjawan untuk penguatkuasaan harus diberi keutamaan dan pelaksanaannya diawasi secara ketat bagi melindungi pihak berkepentingan yang sah terutama industri pelancongan, katanya.
“Industri ini tidak dapat menanggung lagi ketirisan dari kegiatan tidak terkawal dan tidak sah, seperti perkongsian rumah atau Airbnb, yang tidak menyumbang kepada industri, menyebabkan kerugian jutaan ringgit dalam pendapatan cukai bagi kerajaan selain kerugian hasil berbilion ringgit untuk industri hotel.”
Beliau berkata industri juga mahu kerajaan memperkenalkan semula moratorium pinjaman.
“Kita berdepan gelombang ketiga dan perniagaan serta individu mat memerlukan bantuan bagi mengurangkan beban aliran tunai,” katanya.
Lanjut subsidi upah hingga Jun depan
Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Emmy Suraya Hussein meminta kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman bank enam bulan lagi.
Beliau juga berharap kerajaan akan meneruskan subsidi upah sehingga Jun tahun depan.
“Kami juga berharap aagar Tenaga Nasional Bhd dan Syabas akan terus memberikan diskaun 15% untuk sekurang-kurangnya 3 bulan.”
Persatuan itu turut menggesa pengecualian cukai perumahan selama enam bulan dan pengecualian cukai pendapatan sehingga RM3,000 hingga RM5,000 bagi pelancongan domestik pada 2021.
Menteri kewangan akan membentangkan Belanjawa 2021 Jumaat ini.
Terdahulu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan menggiatkan usaha untuk menangani Covid-19 di negara ini dan memperuntukkan lebih banyak dana dalam belanjawan.
Menurutnya, kerajaan membelanjakan RM305 bilion, yang mana RM2 bilion disalurkan ke Kementerian Kesihatan manakala RM400 juta dibelanjakan untuk mengekang peningkatan kes di Sabah.– 5 November, 2020.