Pertubuhan dapur jalanan bergelut dengan pandemik Covid-19
Iklan
PENURUNAN sumbangan dan sukarelawan memberikan cabaran kepada dapur jalanan di sekitar Kuala Lumpur, walaupun jumlah mereka yang memerlukan pertolongan meningkat susulan masalah kewangan disebabkan oleh pandemik Covid-19.
Sukarelawan yang waspada dengan penularan virus kini semakin berkurangan, ketika ekonomi yang lemah menyaksikan penurunan sumbangan dan logistik susulan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) menghalang usaha menyampaikan bantuan kepada gelandangan, kata mereka yang menjalankan program ini kepada The Malaysian Insight.
Pengarah projek dapur jalanan Kechara, Justin Cheah berkata beliau menyaksikan peningkatan sebanyak 30% mereka yang datang untuk mendapatkan makan percuma kerana keadaan ekonomi.
“Pada masa ini kami memberi makan sekitar 600 orang yang terdiri daripada golongan miskin dan gelandangan, enam hari seminggu,” katanya, merujuk ke markas Kechara di Jalan Pudu Barat, lokasi operasi mereka setiap hari kecuali pada Ahad.
Kekurangan sukarelawan dan dana adalah masalah utama, kata Cheah.
“Kami sedang melalui masa yang sangat tidak menentu sekarang dan kami tidak mempunyai cukup dana untuk mengekalkan operasi.
“Kami mencuba bertahan bukan setakat hingga akhir tahun ini, tetapi juga bimbang apa yang mungkin terjadi tahun depan jika wabak ini berlanjutan.”
Dana menurun sebanyak 50% sejak permulaan PKP pada Mac dan Julai.
“Sebilangan besar penderma kami adalah orang awam yang berpendapatan sederhana, yayasan dan syarikat.
“Tetapi sejak PKP, ramai yang kehilangan pekerjaan dan tidak dapat memberikan sumbangan.”
Kechara mempunyai 15 kakitangan tetap di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor, dan memerlukan dana bukan hanya untuk misi makanan tetapi untuk membayar gaji, kos utiliti dan operasi.
Ia juga menyediakan bekalan makanan kering kepada 50 keluarga di Lembah Klang, tetapi kekurangan sukarelawan menyukarkan penghantaran barangan ini, tambah Cheah.
Pit Stop Community Cafe, yang terletak di Jalan Tun H.S Lee, mengalami penurunan dana sebanyak 50% hingga 60%, kata pengasas bersamanya Joycelyn Lee.
“Saya rasa ini berlaku kepada semua orang. Kami bergantung pada pengumpulan dana dan tajaan yang menurun dengan ketara ketika PKPB berlaku,” katanya.
Pit Stop, juga menyaksikan bilangan sukarelawan berkurangan kerana ramai yang bimbang mengenai penjarakan sosial, kontak rapat dan memilih untuk tidak menjadi sukarelawan ketika ini.
“Dahulu, kami mempunyai 10 sukarelawan setiap hari secara bergilir. Tetapi, sekarang berkurangan kerana ada yang datang hanya sekali atau dua kali seminggu.”
Mereka memastikan semua langkah berjaga-jaga kesihatan dan keselamatan diambil, termasuk meminta semua sukarelawan mengimbas kehadiran mereka menggunakan aplikasi MySejahtera, pemeriksaan suhu dan mengisi borang pengisytiharan sukarelawan.
Pit Stop menyediakan 80 bungkus makanan di pangkalannya, empat hari seminggu, dan 60 bungkus lagi di Anjung Singgah berdekatan, dan 30 lagi ke rumah anak yatim.
Ia juga menyediakan bahan mentah seperti beras, minyak masak dan sayur-sayuran kepada lebih 10 organisasi seperti rumah anak yatim, organisasi keperluan khas, tempat perlindungan dan rumah orang tua, tetapi Lee berkata kerana penurunan sumbangan dan sumber daya, menyaksikan jumlah bantuan yang diberi berkurangan.
Mereka juga meletakkan beberapa penerima bantuan dalam senarai menunggu.
“Apa yang kami perlukan adalah dana dan makanan. PKP menyebabkan beberapa kos meningkat dengan ketara, sementara pada masa yang sama, dana menurun.”
Pengasas Social and Enabling Environment Development (Seed), Mitch Yusof berkata penajaan daripada orang ramai menjadi semakin sukar selepas Jun, apabila semakin banyak orang diberhentikan.
“Kami melihat penurunan 50% dalam penajaan.”
Kekurangan dana menyebabkan Seed mengurangkan jumlah makanan yang disediakan. Ia kini hanya mampu memberikan 50 bungkus makanan sehari, bukannya 200 seperti sebelumnya, dan menyediakan makanan mengikut “siapa cepat, dia dapat”.
“Bilangan untuk pengedaran makanan juga menurun dari lebih 200 orang kepada 100 orang,” tambah Mitch.
Jumlah sukarelawan di Seed juga mengalami kemerosotan sejak PKP, dengan hanya 20 orang bergilir untuk membantu di pejabatnya di Jalan Tiong Nam, di mana bungkusan makanan diedar untuk makan tengah hari pada Isnin hingga Jumaat.
Sementara itu, satu lagi pertubuhan dapur jalanan, Pertiwi berkata pihaknya terus mendapatkan dana awam, dengan beberapa diberikan oleh organisasi amal di Singapura.
Pengasas Pertiwi, Munirah Abdul Hamid berkata beliau merancang lebih awal untuk memastikan pertubuhannya mempunyai dana untuk beberapa bulan lebih awal bagi memberi makan 350 hingga 400 orang.
Jadual pengedaran makanan mereka adalah makan tengah hari dan malam setiap hari kecuali Selasa dan Khamis untuk mengelakkan pertindihan dengan pertubuhan lain.
Pertiwi, yang biasanya mengedarkan makanan dari tempat perlindungan transit bagi gelandangan di Lorong Medan Tuanku 2, kini beroperasi dari restoran berhampiran.
Satu lagi dapur jalanan, Pertubuhan Kesihatan dan Kebajikan Umum Malaysia (PKKUM), mengedarkan sekitar 300 bungkus makanan setiap hari, termasuk sarapan, makan tengah hari dan malam, di pusatnya yang terletak di Jalan Raja Laut.
Ia kini berdepan kekurangan dana untuk membeli pelitup muka dan pensanitasi tangan, kata Pengasas PKKUM Elisha Kor Krishnan. – 6 November, 2020.