Covid-19 jejas pasaran sewa, kata pemilik hartanah
Iklan
PASARAN sewa semakin terjejas susulan pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai orang hilang pekerjaan dan kesukaran mendapat kewangan, kata kumpulan pemilik hartanah.
Ini juga disebabkan penyewa merayu untuk mendapatkan diskaun atau berpindah ke rumah atau bilik yang lebih murah dan kecil.
Pemilik hartanah mendapati penyewa sukar untuk menyewa atau membeli kecuali di kawasan yang lebih murah.
“Pasaran sewa tidak kukuh semasa pandemik ini. Kebimbangan tentang kehilangan pekerjaan menyebabkan penyewa enggan mendapatkan kediaman yang lebih baik,” kata pemilik hartanah Jega Ponnudurai yang mempunyai beberapa penyewa di Jalan Klang Lama.
“Penyewa yang sedia ada mahu menyambung kontrak tapi meminta pengurangan bayaran sewa.
“Untuk mendapatkan penyewa baru bukan mudah dan mungkin mereka akan berhutang.
“Jadi lebih baik saya mengurangkan sewa dari mereka yang kita kenal dan boleh dipercayai,” katanya.
Jega berkata beliau mengenakan sewa RM1,00 sebulan dan bersetuju memberi diskaun 50% seperti yang diminta penyewanya.
Seorang lagi pemilik hartanah, Julian Ong berkata beliau kehilangan dua penyewanya yang mengalami masalah kewangan untuk membayar sewa, dan kini beliau tidak pasti sama ada mampu mencari pengganti.
“Ramai orang cuba tinggal dengan perbelanjaan terhad. Dua penyewa saya baru menamatkan kontrak dan kini dengan jumlah Covid-19 yang semakin meningkat, saya tidak pasti jika mendapat penyewa baharu.”
Dalam kes Ong, hartanah beliau yang terletak dekat universiti juga berdepan potensi kehilangan penyewa kerana kelas kini diadakan secara dalam talian dan pelajar tidak perlu lagi tinggal berdekatan kampus.
“Pelajar menjalani sesi pembelajaran dari rumah dan tidak perlu menyewa unit berdekatan.”
Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan semua program pembelajaran dan pengajaran di universiti awam dan swasta perlu diadakan secara dalam talian sehingga 31 Disember.
Kebenaran hanya diberi kepada pelajar yang perlu hadir ke makmal, bengkel atau studion untuk menggunakan peralatan khas bagi tujuan latihan. – 8 November, 2020.
Berita penuh di sini.