Cikgu Azizan dilepaskan, kes ditarik balik
Iklan
Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu selepas pendakwa raya menarik balik pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Mahkamah turut mengembalikan wang ikat jamin RM500 kepada tertuduh.
Azizan, 44, yang baru bertugas di Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai merupakan penolong hal ehwal murid yang bertanggungjawab atas isu disiplin. Beliau dituduh mencederakan anak muridnya yang didakwa terlibat dalam kes disiplin berat termasuk menghidu gam.
Kes ini menarik perhatian umum selepas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Jumaat lepas menggesa guru-guru hadir di mahkamah hari ini untuk memberikan sokongan dan solidariti kepada Azizan.
Perkarangan mahkamah juga dipenuhi kira-kira 300 orang guru yang hadir untuk menunjukkan sokongan kepada rakan sejawatan mereka itu.
Sokongan ke atas Azizan, yang mereka sifatkan teraniaya kerana menjalankan tugas, adalah sesuatu yang jarang dilihat dalam beberapa kes saman oleh ibu bapa terhadap guru sebelum ini.
Peguam Francis Pereira yang mewakili Azizan berkata Pejabat Peguam Negara boleh mendakwa semula individu yang dilepaskan tanpa dibebaskan.
“Ia biasanya untuk kes di mana tidak ada bukti pada peringkat ini atau mereka tidak bersedia untuk meneruskan perbicaraan.
“Tetapi dalam situasi ini, Pejabat Peguam Negara memberitahu majistret tidak ada perkembangan dalam kes itu dan berdasarkan perkara itu mereka mohon tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan,” katanya kepada wartawan di bangunan mahkamah hari ini.
Pereira berkata Pejabat Peguam Negara tidak memberi sebab mengapa kes itu ditarik balik.
“Kes ini tidak ada lagi. Nampaknya tidak mungkin mereka akan buka dan caj semula guru ini,” katanya.
Kes itu ditarik balik sebelum kenyataan diambil.
Menurut kertas pertuduhan, Azizan didakwa mencederakan pipi kiri seorang pelajar pada 6 April kira-kira jam 7 pagi.
Insiden itu dikatakan berlaku di tempat perhimpunan SK Taman Semarak, Nilai.
Jika didapati bersalah, Azizan boleh dikenakan hukuman penjara setahun, denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Kes Azizan ini turut mendapat perhatian pengguna media sosial yang menulis pelbagai komen dengan tanda pagar #PrayForCikguAzizan dan #AnakkuSazaliTidakAkanBerulang, merujuk kepada filem popular P. Ramlee bertajuk “Anakku Sazali” yang mengangkat tema pendidikan anak. – 19 Disember, 2017.