Iklan

Keluarlah mengundi

The Malaysian Insight7 years ago19th Dec 2017Editorial
 m5f9833
Hanya pengundi yang boleh menentukan parti politik mana yang baik atau berusaha jadi lebih baik untuk mendapat mendapatkan undi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2017.
Iklan

ADA dua cara untuk menentukan kerajaan pada pilihan raya umum akan datang. Cara pertama, mengundi salah satu pakatan atau parti pilihan anda. Cara yang satu lagi ialah dengan langsung tidak mengundi.

Pergi ke pusat mengundi dan membuat pilihan di peti undi adalah cara terbaik untuk kempen tersembunyi dan berbahaya di media sosial yang mengatakan tidak ada gunanya keluar mengundi kerana semua parti politik pun sama, tidak berguna.

Hakikatnya hanya warganegara ini atau pengundi yang boleh menentukan parti politik mana yang baik atau berusaha jadi lebih baik untuk mendapat mendapatkan undi. Itu bergantung pada dasar-dasar, falsafah politik dan pemimpin yang diletakkan sebagai calon.

Mendengar cakap-cakap mereka yang mengatakan tidak ada salahnya tidak mengundi dalam satu atau dua pilihan raya hanya memastikan satu perkara sahaja: orang lain akan menentukan kerajaan untuk anda tetapi andalah yang akan menerima padahnya.

Kita tidak payah merenung jauh-jauh untuk memahami kesan yang semacam itu. Referendum Brexit satu contoh yang jelas. Tidak ramai anak muda keluar mengundi sementara pengundi berusia yang tenggelam dengan pandangan tentang kedaulatan Britain menentukan nasib negara.

United Kingdom masih bergelut menanggung kesan referendum itu – dengan pengundinya yang kesal dan pegawai Suruhanjaya Eropah yang kecewa, percaya rakyat Britain sudah buat kesilapan besar.

Itu di United Kingdom. Di Amerika Syarikat, Donald J Trump jadi presiden dengan menang di negeri-negeri yang memberikan undi dewan pemilih yang lebih banyak berbanding diterima oleh Hillary R Clinton. Beliau menang dengan kempen yang strategik, Clinton kalah.

Hal yang sama boleh berlaku di Malaysia. Semalam Mahkamah Rayuan memutuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh meneruskan cadangan kontroversi persempadanan semula kawasan Parlimen dan dewan undangan negeri. Keputusan itu bermakna undi anda sangat mustahak.

Kenapa?

Pengkritik proses persempadanan semula itu mengatakan ia tidak menyelesaikan masalah pengagihan pengundi yang tidak seimbang. Ia sebaliknya melonggokkan pengundi yang cenderung memilih pembangkang ke kerusi dimenangi oleh pembangkang untuk mewujudkan kawasan maha pembangkang dan pada masa sama membentuk lebih banyak kawasan dengan majoriti etnik tertentu.

Ada yang menggelarnya gerimander tetapi kerajaan berkali-kali menafikan dakwaan itu dengan menegaskan SPR sebuah badan bebas.

SPR sedang menyusun semula lebih 120 kawasan Parlimen, lebih separuh daripada keseluruhan 222 kerusi yang ada. Persempadanan kawasan pilihan raya yang terakhir dilakukan pada 2003.

Setakat ini, mereka yang menggerakkan kempen pendaftaran pengundi mendapati kurang pengundi berdaftar dalam masa beberapa bulan lepas, dengan beberapa juta yang masih belum mendaftar dan menuntut hak mereka sebagai warganegara.

Pengundi tidak berdaftar, sempadan kawasan pilihan raya baru dan kempen untuk merosakkan undi hanya akan memastikan sangat sedikit yang mengundi dan menentukan kerajaan memerintah – tidak kisahlah pakatan mana yang anda sokong.

Keputusan tentang pentadbiran atau sesuatu yang menentukan masa depan seperti Brexit tidak harus ditentukan oleh segelintir. Sebaliknya, mereka yang sudah mendaftar sebagai pengundi harus merayakan hak itu dan mengundi dalam pilihan raya.

Malaysia perlukan sebuah kerajaan yang ditentukan oleh majoriti di semua daerah mengundi. Ia memerlukan warganegara yang melaksanakan hak mereka dan memastikan kerajaan bertanggungjawab terhadap semua dasar, janji dan tindakannya.

Jadi, keluarlah mengundi. – 19 Disember, 2017.

Iklan
Iklan