Iklan

Tiada Langkah Sheraton di AS

Hasmi Hashim4 years ago9th Nov 2020Suara
Iklan

TV umumkan Joe Biden menang. Telah menang!

Memang ia bukan keputusan rasmi. Cuma kiraan menunjukkan mustahil Donald Trump boleh cilok balik jumlah undi dan angka lembaga pemilihan presiden (electoral college) yang diperolehi oleh calon presiden daripada Demokrat itu.

Unjuran media dibuat dalam pukul 12:15 tengah malam Ahad, waktu Malaysia. Sudah beberapa hari saya menunggu keputusan langsung di paparan berita.

Kurang dua jam kemudian, Trump mengeluarkan kenyataan yang dia masih menang. Masih menang besar!

Pada masa sama, anehnya dia sudah sediakan peguam untuk ambil tindakan mahkamah di beberapa negeri — kawasan yang dia kalah.

Seiring kenyataan sampai kepada media, Trump pun ke padang golf. Naik kereta. Siap dengan pengawal dan pengiring.

Dia pergi ketuk bola — sepertimana hobinya perdana menteri, menteri atau menteri besar di negara kita. 

Agaknya alasan bermain golf itu, yang sering kita dengar dalam kalangan pemimpin politik di negara ini, ada dua.

Satu, untuk amal jariah (charity), atau kedua, untuk lepaskan kekusutan fikiran. Di padang golf, masalah akan terbang bersama bola yang melayang. Di luar padang golf, masalah tetap berselirat juga.

Maknanya, Trump masih belum menerima hakikat dia kalah. Di Pennsylvania, dia harap masih boleh menang.

Alasannya kerana empat tahun lepas, dia menang di wilayah negeri itu. Sialnya kali ini, dia kalah dengan peratusan yang tidak membolehkan undi dikira balik.

Dalam sistem pilihan raya presiden US, hanya keputusan majoriti di bawah 0.5% sahaja yang boleh dituntut untuk kiraan semula. Kalau pun ada negeri yang kiraan semula boleh dilakukan, adalah di Georgia.

Beza majoriti Biden-Trump di Georgia ialah 0.2% selepas 99% undi dikira. Maknanya di bawah 0.5% majoriti — justeru memang Trump berhak untuk membuat kiraan semula.

Cuma kalau hendak dikira balik bukan sekejap. Jumlah keseluruhan undi dalam 5 juta, dan dijangka memakan masa sampai 10 hari lagi.

Tapinya, kalau pun Trump boleh kembali menang di Georgia dalam kiraan semula, ia tetap tidak mampu menggugah jumlah 270 undi lembaga pemilihan yang kini terkumpul kepada Biden.

Biden tetap akan menang kerana telah melewati angka 270 sebagai paras melayakkan dia jadi presiden terpilih ke-46 Amerika.

Umur Biden sekarang 77 tahun. Dia akan menjadi presiden US paling tua masuk Rumah Putih.

Sepanjang kariernya, lima kali Biden cuba untuk menjadi presiden sebelum ini. Tapi gagal.

Menyusun angka dalam politik

Semua angka tidak akan bermakna kalau tidak menggambarkan realiti. Dalam politik, memang angka boleh disusun-susun, seperti Muhyiddin Yassin menyusunnya di Dewan Rakyat. Dia ada 113 ahli Parlimen. Kononnya.

Tetapi realiti mungkin berbeza.

Ketika TV mengumumkan Biden mencecah angka minima sebagai presiden terpilih, secara spontan orang berpesta-pestaan.

Di New York, ada yang mengetuk-ngetuk bontot periuk, meniup alat tiupan, membunyikan hon kenderaan dan menjerit-jerit gembira. 

Sama ada di jalan raya, atau di pejabat mahupun di pangsapuri masing-masing. Mereka berhurei-hurei.

Si Kitol bagi Amerika seakan dapat dikalahkan.

Perayaan turut disambut di banyak tempat lain. Bukan sahaja di New York yang menjadi kubu “wilayah biru”. Barang diingat, di Amerika Syarikat (AS) sana, negeri atau wilayah yang dikuasai parti Demokrat akan ditandakan sebagai biru; yang dikuasai Republikan, warnanya merah.

Rata-rata kawasan bandar, memang biru. Kawasan luar bandar pula, merah. 

Oleh itu, undi yang banyak adalah dari bandar-bandar dan di kawasan yang dikatakan pengundinya lebih berpendidikan, berbanding luar bandar.

Mudah cakap, kebanyakan orang yang berpelajaran, akan menyokong birunya Demokrat.

Dalam pemilihan 2020 ini, belahan biru-merah juga telah membuatkan Amerika terbelah dua. Terbelah secara ekstrem.

Dasar, tindak-tanduk dan kata-kata Presiden Trump selama empat tahun belakangan dikatakan antara punca mengapa rakyat Amerika menjadi ekstrem antara ideologi Republikan lawan Demokrat.

Amerika bukan “kesatuan Amerika” lagi. Perpecahan ini juga yang menjadi modal kempen Biden-Harris untuk mewujudkan kembali perpaduan dan kesatuan AS.

Perpecahan era Trump dikatakan yang terburuk selepas era Perang Saudara. Masalah perpecahan di Amerika itu disebut juga sebagai “Trumpisme”.

Perpecahan sama, di Malaysia, sebenarnya sudah lama wujud. Mungkin kita mengenalinya sebagai “Mahathirisme”. 

Perpecahan itu meski sedikit mereda menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, tetapi cuba diwujudkan kembali dengan lebih parah atas nama “kerajaan Melayu-Islam” oleh Umno-PAS-Bersatu. 

Kini Malaysia seolah-olah sedang diseret kembali ke era ala pentadbiran Trump. 

Seperti Trump, Muhyiddin bukan sahaja terkenal kerana gilakan golf, tetapi langkah rampasan kuasa dalam “Langkah Sheraton” Februari lalu tidak ubah persis sikap Trump hari ini.

Kuasa perlu dipertahan atau dirampas dengan apa sahaja sekalipun.

Entah Trump yang cuba meniru kejayaan Perikatan Nasional (PN) yang merompak suara rakyat, itu belum pasti.

Cuma di AS, peluang untuk melakukan ala-ala Langkah Sheraton nampaknya mustahil berlaku.

Segala undang-undang mengawalnya telah wujud dan payah untuk pihak tertentu hendak menipu dalam pilihan raya, atau percubaan mencuri wakil-wakil rakyat sepertimana yang dilakukan oleh Mohamed Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin.

Di sinilah kekuatan Amerika, yang asas demokrasinya telah mantap dan stabil. Sebab itu jugalah, antara angka dan realiti akan selalu terhubung.

Kalau memang yang menang disukai oleh rakyat, lalu dengan sendirinya perayaan dan pesta-pesta meletus di mana-mana.

Kalau memang yang kalah itu dibenci orang, kita boleh melihat dia selalu cuba untuk membantah dan membuat rampasan kuasa. 

Sehingga kini, kem Trump gagal membuktikan apa-apa kecurangan — dan dalam tempoh dua bulan ke depan sebelum meninggalkan Rumah Putih secara rasmi, Trump berikrar dia akan melakukan apa sahaja yang termampu untuk kekal sebagai presiden.

Dalam kegembiraan rakyat Amerika menyambut kemenangan Biden, tanpa disedar api cemburu menyala. Langkah pengkhianatan bermula. Macam di Malaysia, tipu daya mengatasi harapan rakyat.

Di AS, kegilaan Trump takkan menguasai hati hakim atau sistem perundangan mereka. Jauh sekali dapat memikat nurani rakyatnya.

Langkah Sheraton hanya berjaya di Malaysia. Tidak di Amerika. – 9 November, 2020.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

Iklan
Iklan