'Saya pernah diludah pelajar, tapi tetap maafkan'
Iklan
Kalangan guru yang ditemui The Malaysian Insight hari ini menyatakan rasa syukur atas keputusan Majistret melepaskan rakan mereka, Azizan Manap dari tuduhan mencederakan pelajar.
Seorang daripada Azizah Sudin berkata sekiranya keputusan itu tidak memihak kepada Azizan, ia akan memberi impak kepada guru-guru untuk menjalankan tanggungjawab mereka.
“Alhamdulillah, syukur sebab kemenangan pada pihak guru sebab kita bukan nak cederakan murid.
“Sebenarnya rasa tercalar (bila isu ini timbul) sebab guru (ingin) mendidik tapi mereka akan dipersalahkan dan terbeban.
Nak buat apa-apa (tindakan) pun takut. Tugas mendidik tu dah tersekat bukan nak cederakan murid,” kata Azizah, 46.
Beliau merupakan antara 300 orang yang digembelang Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan ke mahkamah sejak awal lagi hari ini untuk menyatakan sokongan kepada Azizan.
Rakannya, Rashidah Mohd Abd Rahman sependapat dan berkata tugas mendidik oleh seorang guru kadang-kadang disalahertikan oleh ibu bapa.
Beliau tetap bimbang jika kes itu berulang, yang pastinya akan menjejaskan tugas mereka sebagai guru.
“Perkara macam ini akan ganggu emosi guru dan hak guru. Hak guru perlu ada ketika membimbing. Mereka kena bertegas tapi disalahertikan oleh ibu bapa.
“Rasanya cabaran nak didik anak muda sekarang tak macam dulu,” kata Rashidah yang telah 17 tahun mengajar.
Dua lagi guru yang ditemui The Malaysian Insight memuji sikap Azizan yang memaafkan murid serta ibu bapa murid yang mengheret guru tersebut ke mahkamah.
Seorang daripadanya yang ingin dikenali dengan nama Suzy berkata, mereka akan memaafkan dan tetap mendoakan yang terbaik untuk pelajar.
“Apa pun (kesalahan) kita akan maafkan. Kita redhakan apa semua yang kita ajar. Sebab satu hari nanti mereka akan ingat (apa yang mereka lakukan),” kata Suzy yang bertugas di sebuah sekolah menengah.
Katanya, beliau pernah dihina oleh murid yang meludahnya, namun beliau tidak memasang dendam.
“Saya sampai kena ludah pun ada. Tapi mak bapa murid datang sekolah (untuk menyelesaikan). Saya berniat untuk mendidik, jadi saya maafkan saja. Bila dia besar dia akan fikir sendiri baik buruk,” kata Suzy yang berpengalaman mengajar selama 15 tahun.
Seorang lagi guru dari Selangor, Ida, turut senada dengan Suzy dan berkata tindakan Azizan itu adalah tepat kerana sekiranya guru menutup mata dengan perbuatan murid tersebut, ia akan menggelapkan masa depan pelajar itu sendiri.
“Kami didik macam anak sendiri. Kalau mereka gagal, kami sedih sebab kita ditugaskan dan diberi tanggungjawab untuk mendidik tapi pelajar tu tak capai matlamat.
“Kebanyakan guru kalau pelajar biadap dengan mereka, mereka (guru) akan maafkan. Kalau maki hamun sekalipun semua cikgu akan maafkan.
“Kalau dia tak datang maaf pun kami akan doakan mereka berjaya,” katanya yang mempunyai pengalaman sebagai guru selama 20 tahun.
Mahkamah Majistret Seremban hari ini melepaskan tanpa membebaskan Cikgu Azizan atau nama sebenarnya, Azizan Manap dari tuduhan mencederakan anak muridnya.
Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan hari ini selepas pendakwa raya menarik balik pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – 19 Disember, 2017