Iklan

Tak hadir pengurusan kes perkara kecil, kata Tian Chua

Radzi Razak7 years ago19th Dec 2017Berita
Tian chua pkr pc 111217 tmiseth 06
Ahli Parlimen Batu Tian Chua tidak hadir dalam pengurusan rayuan kesnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2017.
Iklan

AHLI Parlimen Batu, Tian Chua berkata beliau berasa tidak perlu hadir dalam prosiding pengurusan rayuan kesnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Jelasnya, ketidakhadiran itu satu perkara kecil dan beliau akan hadir ke mahkamah pagi esok.

“Ini pengurusan kes, biasanya tak perlu hadir. Ia perkara kecil. Saya akan hadir esok hari,” kata beliau kepada The Malaysian Insight hari ini.

Sementara itu, peguamnya Latheefa Khoya turut mengeluarkan kenyataan sama dan akan bersama anak guamnya untuk menjelaskan keadaan itu kepada hakim esok.

“Hal hari ini ditetapkan sebagai pengurusan kes.Tian Chua tidak hadir kerana beliau telahpun membuat kehadiran terhadap pengurusan kes sebelum ini.

“Malahan beliau tidak sedar tarikhnya ialah hari ini, yang telah diberitahu kepada kami sebagai peguamnya.

“Kami akan hadir ke mahkamah dan menjelaskan keadaan kepada Hakim yang Arif esok dan membuat permohonan membatalkan waran tangkap tersebut,” katanya dalam kenyataan kepada The Malaysian Insight.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Sofian Abd Razak hari ini mengeluarkan waran tangkap ke atas Chua selepas gagal hadir untuk pengurusan kes rayuannya terhadap sabitan tuduhan di bawah Akta Hasutan.

Mahkamah Sesyen pada 28 September tahun lalu mendapati Chua bersalah kerana membuat kenyataan berbaur hasutan pada sebuah forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor selepas pilihan raya umum ke-13, lima tahun lalu.

Ahli Parlimen Batu itu dihukum penjara tiga bulan dan denda RM1,800, dan dia merayu ke atas sabitan dan hukuman. Pihak pendakwaan turut membuat rayuan silang untuk menambah hukuman.

Kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan membawa hukuman denda maksium RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Seseorang akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen jika didenda lebih daripada RM2,000 atau penjara lebih setahun. – 19 Disember, 2017.

Iklan
Iklan