Iklan

Ahli ekonomi kata Belanjawan 2021 tak cukup berani

Noel AchariamElill Easwaran4 years ago14th Nov 2020Berita
Slum1
Belanjawan 2021 yang dibentangkan tidak menggunakan sepenuhnya ruang bantuan kepada rakyat yang terjejas teruk kerana Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 14 November, 2020.
Iklan

BELANJAWAN 2021 tak cukup berani dan gagal membantu kumpulan masyarakat yang terjejas teruk kerana perintah kawalan pergerakan untuk mengekang Covid-19, kata ahli ekonomi.

Kerajaan Muhyiddin Yassin memperuntukkan RM322.5 bilion untuk belanjawan pengembangan bagi mengurangkan kesan kemelesetan ekonomi dibawa pandemik itu.

Tetapi, Malaysia perlu membelanjakan wang itu dengan bijak kerana tiada siapa tahu berapa lama lagi wabak akan terus mengganas dan sama ada ia akan dapat dikekang sepenuhnya, kata Penasihat Kanan Institut Kajian Khazanah Jomo Kwame Sundaram.

“Negara sudahpun mengalami gelombang ketiga (Covid-19).

“Jadi, untuk negara membangun, kita tidak boleh tiru bulat-bulat langkah digunakan ekonomi maju,” katanya pada forum Analysing Malaysia Budget 2021.

Jomo mengulas Belanjawan 2021 yang dibentangkan Jumaat lepas yang diuar-uarkan memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan awam dan pemulihan ekonomi.

Belanjawan itu sangat mengecewakan kerana langkah pemulihan seperti Prihatin sudah diperkenalkan beberapa bulan lalu, kata Jomo.

“Belanjawan itu memang kurang imaginasi dan kesedaran bahawa lebih banyak sebenarnya diperlukan.

“Misalnya, pada bulan pertama PKP (Mac), langkah bantuan agak bermanfaat (Prihatin) untuk komuniti tertentu, tetapi sekurang-kurangnya 30% hingga 40% penduduk negara ini tidak dapat faedahnya.

“Saya bercakap tentang pekerja gaji harian, yang tidak dapat gaji jika mereka tak datang kerja.”

Belanjawan 2021 juga tidak menangani sentimen ketidaktentuan ekonomi dan pekerjaan yang mencengkam rakyat kini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2020.

Lebih banyak bantuan kewangan

Perintah kawalan pergerakan (PKP) paling banyak menjejaskan mereka yang tidak dapat bekerja di pejabat atau di kilang, katanya.

“Kami dapati banyak langkah (Prihatin) yang diperkenalkan sejak lapan bulan lepas dengan pelbagai jumlah (bantuan).

“Tetapi, lebih banyak perlu dibuat untuk menggerakkan ekonomi.”

Jomo berkata kerajaan perlu memahami rakyat dan dasar yang bermanfaat untuk mereka.

“Setakat ini, kalau menyentuh soal ekonomi, kita tak tahu apa akan berlaku di masa depan.”

Felo Kanan Institut Pulau Pinang Frederik Paulus berkata belanjawan yang dibentangkan tidak cukup berani.

“Sebenarnya ada banyak lagi ruang untuk beri lebih banyak bantuan. Bila anda lihat kesan PKP, ada ketidaktentuan yang wujud (tentang persoalan) adakah akan ada lagi PKP.”

Masalah sekarang adalah ketidaktentuan, katanya.

“Misalnya, bila vaksin sudah tersedia, kita mungkin boleh mula kembali kepada kehidupan biasa.

“Kita hanya boleh berharap (wabak) akan berakhir awal, tetapi masalahnya sekarang adalah ketidaktentuan.”

Bagaimanapun, Paulus berkata salah satu hikmah pandemik yang berlaku, syarikat mula menggaji lebih ramai pekerja tempatan dan bukan lagi pekerja asing. – 14 November, 2020.

Iklan
Iklan