Iklan

Akses digital setara cabaran terbesar kelas dalam talian, kata Jomo

Noel AchariamElill Easwaran4 years ago14th Nov 2020Berita
50580771213 bce9a925e9 b
Hanya 6% pelajar sekolah ada akses kepada komputer riba dan ramai lagi hanya ada akses pembelajaran dalam talian di telefon pintar, kata Jomo Kwame Sundaram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2020.
Iklan

AKSES digital adalah cabaran terbesar untuk pelajar yang tidak dapat ke sekolah kerana Covid-19, kata penasihat kanan Institut Kajian Khazanah.

Perlu ada perancangan teliti kerana pembelajaran dalam talian di Malaysia mempunyai banyak cabaran terutamanya dalam isu akses kepada teknologi dan internet tidak setara, kata Jomo Kwame Sundaram.

“Ini mewujudkan masalah besar, kerana ibu bapa, guru dan pelajar masuk ke dalam kelas virtual mengikut norma baharu.

“Hanya 6% pelajar sekolah ada akses kepada komputer riba dan ramai lagi hanya ada akses pembelajaran dalam talian di telefon pintar.

“Tetapi, jika anda ada lebih daripada seorang anak yang perlu menggunakan peranti (komputer atau telefon pintar) pada satu-satu masa, semuanya akan bermasalah,” kata Jomo pada forum bertajuk Analysing Malaysia Budget 2021.

Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin sebelum ini memberitahu Dewan Rakyat yang takwim persekolahan 2021 akan bermula pada 20 Januari.

Kelewatan pembukaan semula sekolah adalah untuk menggantikan kehilangan hari disebabkan cuti hujung tahun yang dipendekkan dan penangguhan peperiksaan akhir tahun dan SPM.

Peperiksaan SPM dan STPM ditangguhkan kepada suku pertama tahun depan.

Jomo berkata salah satu pilihan bagi mereka yang tiada akses digital adalah penyiaran.

“Misalnya, ada (pilihan) penyiaran dengan hampir 90% orang ada akses kepada televisyen dan hampir 95% ada akses kepada radio.

“Pembelajaran boleh dilakukan menggunakan platform ini berbanding hanya menggunakan komputer riba dan telefon pintar yang ramai tidak ada akses,” katanya.

Akses digital setara adalah cabaran terbesar pembelajaran dalam talian di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2020.

Jomo merujuk kepada kes pelajar Universiti Malaysia Sabah, Veveonah Mosibin, 18, yang memuatnaik video di YouTube menunjukkan beliau terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet bagi menduduki peperiksaan.

Apabila video itu tular, Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin di Dewan Negara mendakwa Veveonah hanya mahu mendapatkan perhatian.

Beliau kemudian meminta maaf tetapi menyalahkan Timbalan Menteri Kewangan 1 Abdul Rahim Bakri yang memberikannya maklumat itu.

Rahim menerusi catatan di Facebook kemudiannya mendakwa beliau menyiasat dakwaan Veveonah mengenai capaian lemah internet melalui ketua kampung dan seorang kakitangan UMS tidak dinamakan.

Katanya, sumbernya di UMS menafikan ada peperiksaan berlangsung pada Jun ketika Veveonah merakam dan memuatnaik video tular itu. Beliau kemudiannya memadam catatan itu.

Selepas kontroversi itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin menerusi Twitternya berkata Kabinet bersetuju yang masalah sebenar adalah mendapatkan capaian internet dan kemudahan asas lain di kawasan pendalaman.

Zahidi pula berkata kerajaan akan meneruskan usaha penambahbaikan capaian internet seluruh negara.

Jomo pada forum dala talian anjuran Gabungan Bertindak Malaysia juga menyentuh soal kebergantungan pelajar kepada program makanan percuma di sekolah.

“Dengan pembelajaran dalam talian berlaku sehingga tahun depan, bagaimana pelajar sekolah ini akan melaluinya sedangkan mereka bergantung kepada makanan percuma disediakan di sekolah.”

Beliau mencadangkan makanan percuma itu dihantar ke rumah pelajar yang memerlukannya. – 14 November, 2020.

Iklan
Iklan