Pasaran lelongan hartanah rasai kesan pandemik tahun depan
Iklan
LEBIH banyak lelongan hartanah dijangka berlaku pada suku ketiga tahun depan apabila kesan sebenar pandemik Covid-19 dirasai, kata pemain industri.
Mereka menjangkakan banyak peminjam akan mengurangkan perbelanjaan dengan ada antaranya yang tidak mampu membayar hutang.
Ini akan menyebabkan bank melelong hartanah mereka dengan jumlah tertinggi dijangka berlaku pada September tahun depan, kata mereka kepada The Malaysian Insight.
Industri lelongan merupakan penanda aras penting dalam mengukur prestasi pasaran dan kadar pengangguran serta purata pendapatan dan kemampuan membayar semula pinjaman.
Pengarah Eksekutif Ernte Auction House Sdn Bhd Gary Chia berkata industri lelongan berkembang sedikit pada tahun ini.
Hal ini katanya disebabkan moratorium pinjaman selama enam bulan yang berakhir pada September lalu yang menyaksikan peminjam mengambil kesempatan untuk menstruktur semula hutang mereka dengan pihak bank.
Chia berkata trend pasaran menunjukkan petanda bahawa akan berlaku peningkatan dalam lelongan hartanah pada suku ketiga tahun 2021.
“Kita hanya tahu impak sebenar (pandemik Covid-19) pada suku ketiga tahun depan, dan kita jangka perkembangan sektor ini tahun depan,” katanya.
Chia berkata nilai hartanah bernilai jutaan ringgit akan dilelong pada suku ketiga tahun depan.
“Lebih banyak hartanah bernilai RM1 juta, RM2 juta akan dilelong. Pemerhatian kami juga mendapati lebih banyak hartanah milik syarikat juga akan dilelong.
“Pada masa yang sama, kalangan syarikat akan mengambil kesempatan untuk melabur ruang pejabat baharu dan hartanah komersial yang lain,” katanya.
Chia berkata mungkin lebih banyak hartanah komersial akan dilelong kerana rakyat terus bekerja dari rumah.
“Akan berlaku peningkatan dalam lelongan jika ekonomi terus merosot.” – 15 November, 2020.