Warga kota mula berniaga, terus bertahan dalam pancaroba
Iklan
SELEPAS menganggur lapan bulan, penduduk bandar kini akhirnya dapat memperoleh pendapatan sendiri setelah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi ruang untuk berniaga di beberapa kawasan terpilih.
Para peniaga memberitahu The Malaysian Insight, akhirnya kini mereka mempunyai peluang menjana pendapatan bagi menampung keluarga.
Hairy Ahmad, 31, penjual takoyaki (makanan ringan Jepun), yang tidak bekerja sejak lapan bulan lepas berkata, beliau kini dapat membayar sewa bulanannya.
Peniaga berusia 31 tahun itu pernah bekerja sebagai pengurus restoran sebelum kehilangan kerja ketika bermulanya pandemik Covid-19.
“Sebelum ni saya buat penghantaran makanan secara dalam talian untuk bertahan. Tapi kami tak dapat banyak hasil.
“Jadi, dengan perniagaan ini pasti dapat tolong keluarga saya,” katanya.
Hairy berkata, dengan adanya perniagaan itu, beliau tidak perlu risau tentang bil-bil yang perlu dibayar.
“Saya ada tunggakan sewa, bil air dan elektrik. Tapi dengan hasil pendapatan ini, saya dah tak perlu risau sangat.”
Pada 11 November, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, penduduk bandar yang berminat untuk berniaga secara kecil-kecilan, seperti membuka gerai, boleh berniaga di mana-mana lokasi yang sesuai mulai 15 November.
Namun, katanya, mereka mesti memohon permit perniagaan sementara yang sah selama enam bulan secara percuma di laman web DBKL.
Ruang perniagaan yang ditawarkan terdiri daripada kios atau tapak perniagaan di lokasi strategik.
Daripada 557 pemohon, 234 telah ditawarkan ruang perniagaan untuk berniaga bermula 15 November hingga 15 April 2021.
Lokasi kios dan lokasi perniagaan untuk fasa ini merangkumi 11 ruang kios di kawasan River of Life, 16 tapak perniagaan untuk trak makanan, 100 ruang perniagaan di Berjaya Times Square dan 107 ruang perniagaan di perhentian bas dan teksi di sekitar Kuala Lumpur.
Mohd Amiruddin, 36, yang menjual produk tempat tidur, bersyukur apabila beliau tidak perlu risau tentang penyediaan keperluan keluarga.
“Saya biasa menjual barang-barang saya di pusat membeli-belah, tetapi ketika pandemik melanda, kami kena tutup.
“Saya menganggur selama lapan bulan. Kami cebur diri dalam perniagaan makanan dalam talian untuk bertahan, tapi banyak persaingan yang sengit,” katanya.
Bapa kepada tiga orang itu berkata, dengan pendapatan ini beliau dapat membeli lampin dan susu untuk anak-anaknya.
Tambahnya, walaupun mereka mendapat Bantuan Prihatin Nasional, mereka simpan bantuan itu untuk hal kecemasan seperti perubatan dan perbelanjaan anak-anak.
Normeharan Abdul Majid, 41, yang menjual kerudung dan pakaian tradisional memuji DBKL kerana memberi mereka peluang mencari nafkah.
“Perniagaan naik sedikit demi sedikit. Kami harap dapat terus meningkat. Kami juga berharap DBKL dapat bagi kami sedikit bantuan kewangan supaya kami dapat bertahan.”
Nazrina Hamzah, 42, yang menjual beg tangan berkata, suaminya merupakan seorang pemandu, namun sejak perintah kawalan pergerakan, suaminya tidak dapat bekerja.
“Inilah sebabnya kenapa saya daftar untuk buka gerai di sini.
“Saya harap dengan perniagaan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban suami saya untuk membayar bil,” katanya.
Penjual lain Fazlina Amran, 36, berkata, beliau pernah menjalankan perniagaan kedai runcit tetapi sejak pandemik ini, beliau terpaksa tutup kerana perniagaannya tidak berjalan dengan baik.
“Saya harap menjual nasi campur dapat tolong saya dapat lebih sedikit. Saya yakin dapat simpan banyak, sebab tak perlu lagi sewa sejak dapat buka gerai di sini,” tambahnya. – 15 November, 2020.