Majikan masih menanti maklumat terkini skim permit kerja Pati
Iklan
MAJIKAN bimbang dengan keputusan Putrajaya menyambung semula program pengesahan pekerja pendatang asing tanpa izin (Pati) kerana hanya terdapat sedikit maklumat mengenai skim ini, yang bermula pada Isnin lalu.
Kebimbangan paling utama adalah denda yang bakal dikenakan, dengan banyak perniagaan berkata jika kerajaan memutuskan denda yang tinggi, maka ramai akan mengelak untuk menjadikan pekerja mereka sah di sisi undang-undang.
Minggu lalu Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata program itu, yang dibuka pada 16 November hingga pertengahan Disember, adalah untuk membolehkan pendatang asing tanpa izin membuat permohonan melalui majikan untuk tinggal di negara ini dan bekerja secara sah di sektor yang dianggap “sukar, berbahaya atau kotor”.
Hanya majikan daripada empat sektor - pembuatan, pembinaan, pertanian dan perladangan - yang layak untuk memohon.
Presiden Persatuan SME Michael Kang memberitahu The Malaysian Insight, walaupun program itu dimulakan pada Isnin, para pemain industri belum menerima maklumat mengenai skim tersebut, dan bingung mengenai prosedur dan kriterianya.
Kang berkata tidak pasti agensi atau jabatan mana yang akan memproses permohonan tersebut.
“Adakah melalui Jabatan Imigresen atau agensi lain? Kami mempunyai banyak persoalan dan tidak tahu apa-apa.”
Skim pengesahan pada masa lalu juga mempunyai prosedur yang berbeza, termasuk permohonan dalam talian, menjadikan sektor ini kebingungan.
“Adakah majikan perlu beratur dan membuat permohonan secara fizikal, atau cukupkah dengan hanya permohonan dalam talian? Kami terpaksa menunggu maklumat dikeluarkan.”
Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia Soh Thian Lai berkata, pemain industri menunggu kerajaan mengumumkan langkah tersebut.
“Kami memiliki terlalu banyak pekerja asing tanpa izin pada masa lalu tetapi kerajaan menolak untuk mengesahkannya.
“Akibatnya, sektor utama, seperti pembinaan, eksport, pembuatan dan perladangan, menghadapi kekurangan pekerja.
“Sekiranya kita dapat menjadikan pekerja ini sah di sisi undang-undang, maka itu akan membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi,” kata Soh.
Langkah ini hanya akan menyelesaikan sebahagian masalah buruh kerana skim ini hanya tertakluk kepada empat sektor, kata Soh, sambil menambahkan perniagaan yang lebih kecil tidak mungkin mendapat manfaat.
Soh berkata, kerajaan harus memperluas skim ini kepada semua sektor. – 19 November, 2020.
Berita penuh di sini