Iklan

Kerajaan cadang sekat pergerakan pekerja warga asing

Chan Kok LeongZaim Ibrahim4 years ago19th Nov 2020Berita
Foreign
Putrajaya cadang menyekat pergerakan pekerja warga asing susulan lonjakan kes jangkitan Covid-19 di tapak pembinaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 November, 2020.
Iklan

PUTRAJAYA bercadang untuk menyekat pergerakan pekerja warga asing susulan lonjakan kes jangkitan Covid-19 di tapak pembinaan, kata Mohd Redzuan Md Yusof.

“Kementerian Kesihatan (KKM) sedang merangka pelan komprehensif untuk membendung penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja warga asing.

“Ini termasuk tambah baik pelan tindakan, aspek penginapan pekerja dan kawalan pergerakan antara pekerja asing,” kata menteri di Jabatan Perdana Menteri itu ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Redzuan berkata kerajaan sedang membuat penelitian lanjut berkaitan mekanisme memantau pergerakan pekerja dan memastikan mereka menjalani ujian saringan Covid-19.

Majlis Keselamatan Negara yang bermesyuarat semalam bersetuju agar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta KKM merangka pelan perumahan yang komprehensif untuk menempatkan pekerja asing bagi menyekat penularan Covid-19.

Menteri itu menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang-PH) berkenaan bagaimana kerajaan merancang untuk menghapuskan penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja warga asing.

Pada Isnin, tapak pembinaan Damanlela di Kuala Lumpur mencatatkan jumlah jangkitan Covid-19 tertinggi iaitu 460 daripada 475 kes baharu.

Sejak kluster Damanlela dikesan pada 7 November, ia merekodkan 1,346 setakat semalam.

Menurut Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), lonjakan kes Covid-19 yang ada kaitan dengan tapak pembinaan berpunca daripada pekerja berpindah dari satu tapak pembinaan ke tapak lain, selepas projek siap. – 19 November, 2020.

Iklan
Iklan