Iklan

Pusat beli-belah terus terjejas akibat PKPB

Mall (2)
Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia menjangkakan sehingga 68,000 pekerja pusat beli-belah hilang kerja jika PKPB terus belanjutan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 November, 2020.
Iklan

PENGENDALI pusat beli-belah dan peruncit terus menerima impak besar akibat Covid-19 ketika negara sedang bergelut menghadapi gelombang ketiga pandemik itu.

Lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk memutuskan rantaian jangkitan mencetus kebimbangan mengenai kelangsungan perniagaan mereka.

Tujuh negeri kini diletakkan bawah PKPB sehingga 6 Disember .

Kesan berpanjangan Covid-19 dijangka menyebabkan banyak kedai gulung tikar dalam tempoh enam bulan akan datang.

Presiden Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK) Teo Chiang Kok berkata sehingga Ogos lalu mereka menjangkakan perniagaan kembali pulih selepas jumlah pengunjung mencecah antara 70%-90%.

“Malang sekali gelombang ketiga jangkitan melanda negara.

“Jumlah pelanggan mula berkurangan dan turun secara drastik kepada 10-25% berbanding sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) apabila PKPB kali kedua dilaksanakan pada Oktober,” katanya.

Menurut Teo, beliau menjangkakan sehingga 68,000 pekerja pusat beli-belah kecuali yang bertugas di ibu pejabat dan bahagian rantaian bekalan bakal hilang kerja.

Katanya, hasil jualan premis perniagaan di dalam pusat beli-belah seluruh negara hanya sekitar 20%-30% dan 10%-15% di kawasan PKPB akibat kemerosotan ekonomi dan ketidakpastian yang berpanjangan yang memberi impak negatif terhadap pendapatan isi rumah, kuasa membeli dan mata pencarian.

“Sebahagian besarnya kerana pengunjung lebih berhati-hati  untuk tidak keluar rumah semasa PKPB dan bimbang didenda kerana prosedur operasi standard (SOP) yang tidak jelas.

“Arahan bekerja di rumah oleh kerajaan dan waktu bekerja yang terhad juga bermakna bilangan pengunjung semasa hari bekerja merosot.”

Menurut Teo lagi, pelaksanaan PKPB merencatkan ekonomi dan lebih buruk lagi apabila diperluaskan ke banyak negeri.

“Ini memberi isyarat betapa seriusnya wabak, menyebabkan orang ramai bimbang dan panik, sekaligus menghilangkan keyakinan mereka.

“Kami berharap Kementerian Kesihatan akan beritahu maklumat yang lebih terperinci mengenai lokasi jangkitan dan bukan hanya umum jumlah kes, kerana hanya beberapa lokasi sahaja mencatat kes yang banyak,” jelasnya.

Kesan berpanjangan Covid-19 dijangka menyebabkan banyak operasi perniagaan dalam pusat beli-belah gulung tikar dalam tempoh enam bulan akan datang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2020.

Belum sempat pulih sepenuhnya

Teo berkata kesan PKPB kali kedua jauh lebih parah berbanding PKP semasa Mac lalu.

“Ini kerana kami masih belum pulih sepenuhnya berbanding sebelum PKP, jadi penurunan jumlah pengunjung dan hasil jualan yang merosot kali ini lebih teruk.

“Kami menjagkakan lebih banyak kedai akan tutup dalam tempoh enam bulan akan datang.”

Menurutnya, sejak PKP dikuatkuasakan 10 bulan lalu, kebanyakan peniaga sudah kehabisan simpanan dan kini hanya bergantung kepada jumlah pelanggan harian.

“Krisis yang sedang dialami industri peruncitan dan beli-belah serta perniagaan lain yang amat memerlukan bantuan masih belum ditangani dalam Belanjawan 2021.

“Ketika ini apa sahaja bentuk bantuan untuk meningkat dan mengekalkan aliran tunai amat diperlukan untuk kelangsungan operasi,” kata Teo.

Selain moratorium pinjaman perniagaan, lanjutan rebat elektrik juga diperlukan kerana ia sebahagian daripada kos operasi yang besar, tambahnya. 

Kata Teo lagi, bantuan dari kerajaan akan membantu kelangsungan operasi pusat beli-belah.

“Kita sudah lihat penutupan operasi peruncit nama besar seperti Robinsons, pawagam serta beberapa rangkaian francais F&B (makanan dan minuman) dan jenama tempatan.

“Kami jangkakan 5%-10% lagi akan tutup dalam 12 bulan akan datang. Ini sudah pasti akan membawa kesan domino - berpuluh ribu akan hilang kerja apabila banyak perniagaan tutup.” – 20 November, 2020.  

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan