Iklan

Tidak fikir simpanan masa depan, pandemik paksa pencarum keluarkan KWSP

Noel AchariamElill Easwaran4 years ago24th Nov 2020Berita
Kl daily 231120 tmiseth 03
Kebanyakan pencarum terpaksa keluarkan simpanan daripada Akaun 1 KWSP untuk teruskan kehidupan apabila hilang pendapatan akibat pandemik Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 November, 2020.
Iklan

HUTANG, hilang pendapatan dan ketidaktentuan tentang masa depan antara faktor pendorong untuk mereka yang merancang mengeluarkan simpanan mereka daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kebimbangan bagaimana hendak menabung semula dana yang sepatutnya untuk persaraan tidak dipertimbangkan lagi buat masa sekarang kerana mereka kini bergelut dengan kehidupan yang terjejas apabila ekonomi merudum, akibat Covid-19.

Poven Sanmugasundaram, 29, yang hilang pekerjaan sebagai pengurus acara pada Mac lalu, berkata beliau akan mengeluarkan simpanannya menerusi skim i-Sinar.

“Saya memperoleh pendapatan RM5,000 sebulan ketika sebelum pandemik dan sekarang, saya hanya dapat RM2,500. Jadi jika pandemik masih berterusan, saya tidak ada pilihan kecuali keluarkan KWSP,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Poven memulakan perniagaan sendiri iaitu memberikan nasihat berkenaan pasaran saham, tetapi katanya pendapatan tidak stabil.

“Saya perlu bayar pinjaman kereta dan rumah kira-kira RM3,200 sebulan, di mana saya tidak membayarnya sejak April, nasib baik ada moratorium.

“Tetapi sekarang moratorium tamat, saya terpaksa mencari cara lain.”

Di bawah program i-Sinar, kira-kira dua juta pencarum KWSP, yang hilang pekerjaan atau bercuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan, layak mengeluarkan sehingga 10% daripada simpanan dalam Akaun 1. Permohonan boleh dibuat mulai Disember.

Ini bermakna pengeluaran hingga RM9,000 dalam tempoh enam bulan bagi mereka yang mempunyai simpanan RM90,000 ke bawah dalam Akaun 1, dengan RM4,000 diberikan sebagai pendahuluan pada bulan pertama dan bakinya dibahagikan setiap bulan berikutnya.

Bagi mereka yang mempunyai lebih RM90,000 dalam Akaun 1 boleh mengeluarkan sehingga 10% daripada simpanan tetapi pendahuluan ditetapkan pada RM60,000.

Bekas jurutera rangkaian Zamri Mohd Ramli, 39, yang hilang pekerjaan pada April, berkata beliau tidak fikir tentang simpanan persaraan, kerana keperluannya amat mendesak sekarang.

Bapa kepada dua anak itu berkata sekarang amat sukar untuk mendapatkan pekerjaan dan jika ada pun, syarikat tidak akan membayar gaji yang sepadan dengan kemahiran serta pengalamannya.

Bagi meneruskan kelangsungan hidup, beliau kini bekerja sebagai ejen insurans secara separuh masa.

“Saya tidak bimbang tentang wang persaraan kerana jumlahnya tidak akan terlalu terjejas.

“Dalam kes saya, saya hanya boleh keluarkan maksimum RM10,000, kalau ikut akaun saya.”

KWSP menyifatkan skim i-Sinar bukan pengeluaran simpanan tetapi wang pendahuluan di mana simpanan itu perlu ditambah semula oleh pencarum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2020.

Pemandu Grab, Puvenesh, berkata beliau tidak ada pilihan lain kecuali keluarkan wang simpanan dalam Akaun 1.

“Pendapatan bagi beberapa bulan terakhir ini sangat sedikit dan sekarang bertambah teruk dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB). Penumpang sedikit saja, jadi pendapatan pun berkurang.

“Pelancong tiada, begitu juga dengan pelanggan dari hotel, dan memandangkan universiti tutup, tidak ada pelajar langsung naik Grab,” katanya.

Puvenesh merancang menggunakan wang KWSP itu untuk membayar hutang dan bil yang banyak tertunggak.

Pemandu teksi, Abdul Hakim, 50, agak berhati-hati tentang pengeluaran simpanan KWSP itu, berkata beliau akan berbincang dengan isterinya dulu.

“Kami sedang berdepan kesukaran kewangan tetapi kami perlu juga fikirkan masa depan.

“Ini simpanan kami, jadi saya dan isteri perlu berfikir panjang sebelum keluarkan simpanan, kerana kami ada tiga anak,” katanya.

Pemberhentian pekerjaan meningkat dengan ketara pada separuh pertama 2020 dengan 36,196 pekerjaan sepanjang tempoh itu, apabila kebanyakan syarikat bertindak mengecilkan jumlah kakitangan untuk kelangsungan perniagaan, bagi bertahan akibat kesan pandemik.

Tawaran kerja juga menurun 50.8% kepada 251,944 sementara jumlah pencari pekerjaan meningkat 16.9% kepada 277,840.

Sementara itu, KWSP menyifatkan skim i-Sinar bukan sebagai pengeluaran simpanan tetapi “pendahuluan” di mana simpanan itu perlu ditambah semula oleh pencarum.

Wang itu adalah “pendahuluan” kepada pencarum tetapi perlu digantikan dengan caruman KWSP pada masa depan, katanya, dengan menggantikan 100% sumbangan ke dalam Akaun 1 hingga jumlahnya cukup diganti.

Kadar agihan kemudian akan kembali kepada nisbah asal 70:30 antara Akaun 1 dan 2. – 24 November, 2020.

Iklan
Iklan