Iklan

Perikatan Nasional bukan Parti Perikatan

Hasmi Hashim4 years ago25th Nov 2020Suara
Iklan

SETIAP parti yang besar, wujud dengan latar sebuah keadaan traumatik. Ada peristiwa yang meninggalkan kesan mendalam, lagi menakutkan kepada bangsa itu.

Misalnya Parti Perikatan – yang logonya kapal layar. Ia dirikan dengan latar traumatik selepas Perang Dunia Kedua, pendudukan Jepun di Asia Tenggara dan usaha Inggeris untuk merebut kembali Tanah Melayu untuk membentuk Malayan Union sehingga orang Melayu bakal kehilangan negeri dan Rajanya. Buat selama-lama.

Semua peristiwa itu benar-benar meninggalkan bekas jauh di lubuk sanubari penduduk Malaya. Beberapa parti “kecil” turut ditubuhkan. Termasuk parti berasaskan kaum masing-masing. Paling utama sudah tentu Umno, MCA dan MIC.

Apabila merdeka, ketiga parti ini digabungkan di bawah gabungan yang lebih besar. Gabungan itulah yang dinamakan sebagai Parti Perikatan. Namun, sekali lagi gabungan berkenaan tidak akan berjaya tanpa siri peristiwa yang meninggalkan rasa takut yang mendalam seperti disebutkan di atas.

Parti yang tumbuh atas pergeseran daripada parti utama jarang boleh kekal. Atau hampir tidak ada.

Contoh yang selalu dibawa ialah Parti Melayu Semangat 46 (S46). Parti berkenaan ditubuhkan sebagai serpihan daripada Umno. Tanpa apa-apa peristiwa besar kepada orang Melayu, melainkan hanya perebutan kuasa antara Tengku Razaleigh Hamzah lawan Dr Mahathir Mohamad.

Akhirnya S46 berkubur. Pemimpin dan ahlinya ramai yang kembali kepada parti asal, iaitu Umno.

Bahkan boleh disebutkan beberapa lagi parti yang diwujudkan tanpa peristiwa traumatik apa-apa seperti Parti Negara, Berjasa, Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) dan Parti Kita yang tempoh hari menjadi serpihan daripada Keadilan, yang dipimpin Zaid Ibrahim. Pejuang dan Muda juga boleh diramal bakal berada dalam kategori ini.

Parti politik bukan gerai tepi jalan yang boleh dibuka bila-bila masa selepas dibuang kerja. Parti politik juga tidak cukup sekadar lahir di tangga ROS dengan sidang media bersama lima enam orang pengikut.

Ada sebab mengapa peristiwa traumatik sangat penting, yang menjadikan asas kukuh bagi penubuhan sesebuah parti. Jawapannya tidak lain ialah apabila rasa sakit bersama bakal membangkitkan azam dan harapan bersama.

Lalu menjadi persoalan, penubuhan Perikatan Nasional (PN) – yang cuba-cuba meniru Parti Perikatan 1957 itu, paling tidak pada namanya – apakah akan berjaya? Nampaknya, tipis harapan.

Apa yang pasti, PN tidak ada latar yang kuat untuk menjadi asas ia boleh bertahan. Kita tahu, kewujudan PN tidak lebih hanya sebagai langkah taktikal untuk mengesahkan pengambilalihan kuasa tanpa pilihan raya, Februari lalu.

Ringkasnya, PN hanya sebuah wadah untuk mengabsahkan rampasan kuasa.

PN itu, meski juga memakai nama “perikatan” sepertimana Parti Perikatan yang tulen, adalah jauh daripada semangat Parti Perikatan yang tulen. Kalau pun hendak dikatakan bahawa semangat Parti Perikatan awal sebenarnya ada pada Barisan Nasional (BN). Bukannya PN.

Memang BN adalah nama baharu yang diberikan selepas pembentukan Malaysia dengan kemasukan beberapa komponen parti dari Sabah dan Sarawak. Pun begitu, BN tetap mempunyai peristiwa traumatik yang melatarinya di era pasca merdeka.

Peristiwa berkenaan tidak lain ialah tragedi 13 Mei, 1969. Di sana, bukan saja berlaku majlis makan-makan dan berswafoto di hotel mewah. Dalam tragedi 13 Mei, rusuhan menumpahkan darah.

Darah adalah sesuatu yang tidak boleh tidak adalah elemen traumatik tertinggi. Nyawa melayang. Ada suara orang menjerit. Akibat ketakutan yang bukan kepalang.

Atas darah dan nyawa inilah, BN menjadi wadah baharu untuk Malaysia baharu – meski slogan “Malaysia baharu” tidak digunakan sepertimana kempen Pakatan Harapan dalam PRU ke-14 yang lalu.

Hakikatnya memang sebuah “Malaysia baharu” hendak diwujudkan. Buktinya ialah prinsip Rukun Negara yang menjadi lima tiang seri kepada Malaysia – bukan lagi Malaya.

Bahkan rahsia dan kekuatan PKR yang terbukti dapat mengharung perjuangan sehingga lebih dua dekad juga mempunyai latar yang kuat mengapa ia wujud dan terus hidup. Latarnya bukan saja kerana Anwar Ibrahim dipecat oleh Dr Mahathir, tetapi keresahan yang terbuku di hati rakyat secara meluas; pada era ekonomi Malaysia berada pada tahap paling deras.

Rasa resah itulah yang dapat disaksikan di dalam entah berapa banyak siri demonstrasi yang membidani kelahiran PKR.

Kekuatan kedua PRK apabila ia bergabung pula dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang wujud sejak sebelum merdeka. Penggabungan itu telah menjadikan Keadilan dapat berkongsi sejarah perjuangan panjang PRM sebagai parti nasionalisma yang berjuang menuntut kemerdekaan. Sama seperti Umno.

Bersatu yang kononnya mahu berlagak sebagai tunjang di dalam PN, tidak mempunyai ciri-ciri itu. Tidak mempunyai syarat-syarat sebagai parti yang boleh bertahan. Alasannya seperti yang dinyatakan, ia lahir tanpa apa-apa latar atau peristiwa traumatik. Tiada.

Kalau ingin memakai istilah anaknak muda hari ini, Bersatu dan PN bolehlah dikategorikan sebagai “parti hipster” – dan bukan “parti perjuangan”. Dan sepertimana biasanya hipster yang kita lihat, ia tidak boleh bertahan. Ia hanya bergayut kepada “style”.

Pada hari gaya berubah, dengan sendirinya orang akan meninggalkan parti berkenaan. Bukan pula membuat parti baharu lagi, tetapi kembali kepada parti yang mempunyai asas yang lebih kuat; dan sejarah perjuangan yang lebih menggetirkan.

Sekali lagi, di sinilah Umno dan BN akan lebih mampu bertahan. Mungkin juga PAS, DAP dan PKR. Masing-masing dengan latar traumatik yang tidak dibuat-buat.

Meniru-niru dengan warna biru pekat pada bendera PN seperti BN, dan warna merah Bersatu seperti Umno… bukan caranya untuk berjaya.

Kalau sampai masa diuji hilang kuasa, saya menduga akan lebih cepatkan Bersatu dan PN tidak dipandang orang sama sekali.

Mungkin tinggal beberapa hari saja lagi. – 25 November, 2020.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

Iklan
Iklan