Iklan

3 daripada 4 rakyat Malaysia percaya korupsi kerajaan masalah besar

Elill Easwaran4 years ago25th Nov 2020Berita
49933084681 79b0cf0fc9 b
Kajian Transparency International-Malaysia (TI-M) mendapati majoriti rakyat percaya rasuah dalam kerajaan adalah masalah besar dan akan bertambah buruk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2020.
Iklan

MAJORITI rakyat Malaysia merasakan amalan rasuah dalam kerajaan semakin buruk dan akan meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang, menurut kajian Transparency International-Malaysia (TI-M).

Kajian itu dijalankan antara Julai 2019 hingga Jun 2020, ketika dua pentadbiran berbeza sedang berkuasa, kata badan pemantau anti rasuah itu, hari ini.

“71% rakyat Malaysia merasakan yang rasuah dalam kerajaan adalah masalah besar.

“Daripada semua institusi awam, Parlimen, polis dan pegawai kerajaan menduduki tangga teratas persepsi rasuah iaitu masing-masing 36%, 30% dan 28%.

“36% rakyat Malaysia yang terlibat dalam kajian juga merasakan ahli Parlimen korup dan 39% menjangkakan kadar rasuah akan meningkat,” kata kajian.

Presiden TI-M Dr Muhammad Mohan berkata persepsi negatif terhadap politikus dan kerajaan boleh dikaitkan dengan ketidakstabilan politik berterusan, lompat parti, tuduhan politik wang, dan skandal rasuah melibatkan pemimpin politik.

Kajian untuk Malaysia itu adalah sebahagian daripada kajian besar Global Corruption Barometer for Asia 2020 meliputi 17 buah negara dan 20,000 peserta.

Walaupun wujud persepsi negatif terhadap kerajaan, 67% rakyat Malaysia juga merasakan tindakan pihak berkuasa melawan rasuah adalah baik.

Muhammad berkata ini mungkin disebabkan langkah digerakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beberapa pemimpin utama negara, serta dasar Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) dan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP).

“67% rakyat Malaysia percaya SPRM buat kerja baik mengekang rasuah, lebih tinggi berbanding purata di Asia sebanyak 63%,” kata kajian lagi.

Dalam aspek pengalaman peribadi isu rasuah, hanya 7% rakyat Malaysia yang ditinjau berkata mereka diberi rasuah untuk mengundi dalam pilihan raya berbanding 14% purata di Asia.

Manakala, dalam aspek menggunakan hubungan peribadi dalam perkhidmatan awam, 15% rakyat Malaysia berkata mereka pernah berbuat demikian, lebih rendah berbanding purata 22% di Asia.

Kajian juga mendapati dalam kalangan negara yang ditinjau, India merekodkan peratusan tertinggi pengguna perkhidmatan awam membayar rasuah dalam tempoh 12 bulan lepas iaitu 39%, Maldives dan Jepun pula hanya merekodkan 2%.

Bagaimanapun, kajian juga mendedahkan yang 68% rakyat masih percaya mereka boleh mencetuskan perbezaan dalam perang korupsi, lebih tinggi berbanding purata Asia iaitu 62%. – 25 November, 2020.

Iklan
Iklan