Iklan

Pegawai, anggota polis ditahan kes larikan wang RM1.6 juta

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago25th Nov 2020Berita
Iklan

DUA pegawai dan empat anggota polis ditahan kerana melarikan wang tunai RM1.6 juta yang dirampas dalam satu serbuan ke atas seorang warga China.

Ketua Polis Kuala Lumpur Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan dua pegawai yang ditahan berpangkat asisten superintendan manakala empat lagi anggota lain pangkat.

Kesemua bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, katanya yang mengesahkan kesemuanya ditahan pada 23 November dan dibebaskan sehari kemudian.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan curi dalam bangunan dan Seksyen 384 kanun yang sama atas kesalahan peras ugut.

“Kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis dan masih bertugas namun tindakan susulan akan diambil dalam masa terdekat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pegawai dan anggota tersebut disyaki melarikan wang tunai berkenaan selepas melakukan serbuan di sebuah rumah di Jinjang dalam kejadian pada 12 November.

Menurut sumber, enam polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial membuat serbuan ke rumah tersebut bagi selepas menerima maklumat berkaitan kes penipuan.

“Ketika serbuan mereka menemui wang tunai sebelum merampasnya daripada warga China terbabit.

“Mereka melakukannya seperti serbuan biasa namun rampasan wang tunai RM1.6 juta itu tidak dilaporkan.

“Malah, warga China terbabit juga tidak ditahan dan pasukan polis terbabit dipercayai melarikan wang tunai milik mangsa,” katanya.

Sumber memberitahu, warga China itu kemudian membuat laporan polis di IPD Sentul pada 18 November lalu.

Susulan itu, sepasukan polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur membuat penahanan ke atas semua suspek secara berperingkat pada Isnin lalu.

“Sebahagian wang tunai yang dilarikan pegawai dan anggota berkenaan ditemui di rumah masing-masing.

“Namun, jumlah penemuan semula wang yang dilarikan itu dilaporkan hanya RM500,000,” katanya.

Katanya, polis kini sedang mengesan saki-baki wang tunai yang dilarikan kumpulan polis terbabit. – 25 November, 2020.

Iklan
Iklan