Umno akan tekan Muhyiddin bila Belanjawan lulus, kata penganalisis
Iklan
SETELAH mendapat apa yang dikehendaki dalam Belanjawan 2021, Umno akan terus memberi tekanan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN).
Mereka merasakan Muhyiddin belum “keluar dari gua” lagi kerana beliau belum membuktikan majoritinya di Dewan Rakyat. Malah Belanjawan 2021 yang diluluskan Khamis lepas masih belum selesai diperingkat dasarnya.
Penganalisis merasakan pemenang terbesar dalam isu belanjawan ini adalah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Najib Razak, yang telah menetapkan syarat sokongan belanjawan yang dipersetujui PN.
Mereka juga berkata bahawa PN mungkin akan mendapat tekanan yang lebih besar dari Umno walaupun sudah mengakui sebahagian tuntutan parti itu dan Ahli Parlimen mereka seolah menyokong kerajaan buat masa ini.
Pensyarah sains politik Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali berkata, beliau mengharapkan Umno terus menekan Muhyiddin kerana parti Melayu itu mahu Parlimen dibubarkan.
“Mereka tidak akan terima Bersatu sebagai sekutu dan mereka hanya melihat apa faedah yang dapat mereka perolehi, seperti kerajaan yang dikuasai Umno.
“Sekiranya Najib boleh bagi syarat macam itu sekarang, pasti akan ada lebih banyak lagi di nanti. Akan ada lebih banyak tekanan dan lebih banyak syarat untuk PN,” katanya.
Semasa membahaskan belanjawan dua minggu lalu, Najib berkata Barisan Nasional tidak akan menyokong Belanjawan 2021 kecuali moratorium keseluruhan pinjaman bank dilanjutkan.
Bekas perdana menteri itu juga berkata pengeluaran secara pukal, bukannya ansuran, mesti dibenarkan dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Putrajaya telah memenuhi permintaan Akaun 1 KWSP dengan pencarum dibenarkan mengeluarkan wang sehingga RM10,000 dari akaun tersebut dan mempermudah penangguhan moratorium pinjaman bagi mereka yang menginginkannya.
Mazlan berkata, Muhyiddin belum “keluar dari gua” kerana beliau belum membuktikan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Penolong profesor Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Zhe Wei berkata, pemenang terbesar dalam pergolakan belanjawan ini adalah Zahid dan Najib, yang telah memberikan syarat untuk sokongan mereka.
“Mereka tak perlu jelaskan kedudukan mereka. Selagi tidak ada suara, Najib dan Zahid selamat. Ini juga menyebabkan masa sukar bagi Tengku Razaleigh Hamzah dan mereka yang berpihak kepadanya kerana mereka perlu nyatakan pendirian sama ada mereka menyokong kerajaan atau pun tidak,” kata Lau, merujuk kepada Tengku Razaleigh yang telah menyatakan rasa tidak senang dengan kerajaan Perikatan Nasional dan Ahli Parlimen yang menyatakan perlunya menyokong belanjawan berdasarkan rasa hati.
Katanya, sebagai contoh, Najib sebagai pengerusi ketua kelab penyokong BN menuntut agar kerajaan membenarkan peneluaran lebih banyak KWSP dan ia telah disetujui, tetapi pendirian kerajaan terhadap moratorium pinjaman masih tidak jelas, yang memberi Umno bola tanggung.
“Najib harus nyatakan keputusannya untuk menyokong atau menolak belanjawan. Tetapi sekarang, itu bukan urusannya.
“Sekarang, baik belanjawan itu lulus atau tidak, itu bukan kerana Najib, tetapi kerana pembangkang gagal bersuara,” kata Lau.
Beliau menambah, yang kalah besar adalah Ahli Parlimen PKR dan DAP yang dekat dengan akar umbi kerana mereka harus menjelaskan kepada penyokong dan kawasan mereka kenapa mereka tidak tolak belanjawan.
Bagi pembangkang Pakatan Harapan (PH), Lau berkata, ketika sidang Dewan Rakyat bersambung, ini akan menjadi susah kerana tuntutan untuk pelanjutan moratorium susah untuk dipenuhi secara prinsipnya.
“Selain peruntukan untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), mereka tidak dapat benar-benar membantah perbelanjaan peruntukan untuk kementerian lain. Mereka tidak dapat menyerang kementerian Kesihatan dan Pendidikan, yang sudah terdiri dari sebagian besar belanjawan. Jadi, apakah peruntukan khas lain yang dapat mereka bantah dan apa yang dapat mereka perolehi?
“Bagaimana mereka akan bertempur dalam perbalahan ini? Mampukah PH bergantung pada sokongan semua Ahli Parlimennya? Untuk ini, kita harus melihat apa strategi seterusnya,” kata Lau.
Namun, Mazlan memberi amaran bahawa penolakan belanjawan tidak akan membawa kemenangan kepada pembangkang.
“Sekiranya belanjawan berjaya ditolak, adakah krisis politik di Dewan Rakyat akan selesai? Sebaliknya, ia mungkin akan bertambah buruk. Sekiranya belanjawan itu benar-benar ditolak, adakah Anwar mempunyai jumlahnya? Parlimen sebaliknya boleh ditangguhkan,” katanya.
Walaupun Belanjawan 2021 ditolak, kata Mazlan, Muhyiddin mempunyai pilihan termasuk melantik perdana menteri sementara, kerajaan sementara, atau terus membubarkan parlimen, dan ini adalah perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan oleh ahli Parlimen ketika mereka mengundi.
Dewan Rakyat akan bersidang semula dan terus membahaskan Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa di mana peruntukan untuk pelbagai kementerian akan dibahaskan dan perubahan diperkenalkan jika ada yang diminta oleh pembangkang atau kelab penyokong. – 29 November, 2020.