Iklan

Majikan tunggu dan lihat dulu program ambil Pati bekerja

Bernard Saw4 years ago30th Nov 2020Berita
Iklan

PROGRAM mengambil pendatang asing tanpa izin (Pati) bekerja secara sah kurang mendapat sambutan majikan kerana mereka bimbang pekerja akan melarikan diri selepas banyak wang dilaburkan.

Majikan memberitahu The Malaysian Insight sukar untuk memastikan Pati kekal bekerja untuk dua tahun selepas mereka didokumentasikan kerana kerajaan juga membenarkan mereka pulang ke negara asal secara sukarela.

Malah prosesnya juga mengambil masa yang terlalu lama, kata majikan.

Presiden Gabungan Persatuan Peladang Sayur Malaysia Lim Ser Kwee berkata majikan mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana proses menggajikan Pati masih belum jelas.

“Untuk ambil seorang pekerja asing bekerja secara sah memerlukan antara RM4,000 hingga RM5,000.

“Tiada jaminan pekerja tidak lari selepas kontrak dua tahun tamat,” katanya.

Program rekalibrasi yang bermula 16 November hingga 30 Jun tahun depan membenarkan Pati memohon menerusi majikan untuk bekerja secara sah dalam sektor 3D iaitu dangerous, difficult dan dirty (bahaya, sukar dan kotor), melalui Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

Pati juga boleh memohon untuk pulang ke negara asal secara sukarela melalui Program Rekalibrasi Pulang.

Program tersebut diwujudkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia susulan Putrajaya membeku pengambilan pekerja asing ekoran pandemik Covid-19 dan hanya mengutamakan rakyat tempatan. Pembekuan itu mendapat rungutan dari banyak syarikat kerana kekurangan pekerja.

Pati dibenarkan bekerja secara sah dalam sektor 3D iaitu pembinaan, perkilangan, perladangan dan pertanian melaui program rekalibrasi tenaga kerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2020.

Tiada maklumat

Majikan empat sektor 3D - pembinaan, perkilangan, perladangan dan pertanian - masih belum menerima butiran terperinci program rekalibrasi dan tidak jelas mengenai prosedurnya.

Menurut Lim, oleh kerana sektor perladangan sering jadi pilihan terakhir pekerja tanpa dokumen, majikan tidak mahu wang yang mereka keluarkan akan menjadi sia-sia disebabkan masalah di kemudian hari.

Sektor perladangan kini menghadapi kekurangan kira-kira 62,000 pekerja.

Katanya, sukar untuk menarik minat pekerja asing bekerja dalam sektor berkenaan berbanding sektor pembuatan, pembinaan atau pertanian.

“Jadi, apa yang majikan buat ialah mencari pekerja asing tanpa dokumen yang memang sudah bekerja dalam sektor pertanian. Dengan cara ini mereka yakin pekerja tak akan lari kerana warga asing ini sudah biasa dengan kerja (pertanian).”

Lim berkata peladang kini dalam dilema dan meminta kerajaan mengkaji dahulu dasar buruh negara-negara jiran supaya sistem pengambilan pekerja asing di Malaysia dapat ditambah baik.

Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia Michael Kang Hua berkata Program Rekalibrasi Tenaga Kerja kurang mendapat sambutan kerana pemain industri percaya Pati tidak perlu disahkan ketika pasaran masih dalam keadaan tidak menentu. 

“Saya tidak tahu situasi sekarang macam mana. Dengar kata kata keadaan kembali seperti biasa pertengahan tahun depan, jadi lebih baik tunggu dulu.

“Prosedur untuk memohon juga leceh. Kita kena daftar dulu dan bayar depisit RM500 sebelum boleh memohon proses pengesahan.

“Prosesnya akan ambil masa dalam tiga bulan. Sanggupkah pekerja asing ini tunggu?” soal Kang.

Beliau berkata perusahan kecil dan sederhana (PKS) masih kekurangan pekerja asing.

“Ada industri yang memerlukan pekerja asing tetapi proses pengesahan makan kos yang besar.

“Mula-mula kena bayar deposit RM500, kemudian denda RM1,000 kerana tinggal lebih masa.

“Selepas disahkan, majikan perlu bayar cukai, insurans, ujian saringan Covid-19, visa pekerja asing, dan lain-lain. Semuanya mencecah RM5,000 untuk seorang pekerja,” jelas Kang.

Majikan perlu bayar cukai, insurans, ujian saringan Covid-19, visa pekerja asing dan lain-lain, yang mencecah RM5,000 untuk seorang pekerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2020.

Pasaran perlahan

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berkata kebanyakan majikan tidak berminat dengan program rekalibrasi tenaga kerja kerana bimbang akan disenarai hitam akibat mengambil pekerja asing tanpa izin.

Beliau berkata jika ada majikan yang berminat pun, masih sukar untuk mendapatkan Pati bekerja.

“Semuanya belum jelas kerana kerajaan masih belum umum perinciannya secara rasmi.

“Lebih-lebih lagi pasaran sekarang perlahan disebabkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), dan permintaan terhadap pekerja kurang melainkan bagi sektor perladangan dan industri sarung tangan.

“Secara umumnya, permintaan terhadap pekerja sekarang memang kurang,” kata Shamsuddin.

Walaupun sektor perladangan perladangan mengalami kekurangan pekerja asing, majikan dapati sukar mendapatkan mereka  melalui saluran yang sah.

Kementerian Sumber Manusia awal minggu lalu berkata sebanyak 113 permohonan majikan membabitkan 17,292 permohonan kuota untuk menggajikan pekerja asing telah diluluskan di bawah pelan rekalibrasi Pati.

Kementerian itu berkata pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaannya tidak dieksploitasi mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab. – 30 November, 2020.

Iklan
Iklan