Iklan

Adun Selangor tawar ujian Covid-19 serendah RM70

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago2nd Dec 2020Berita
Covid-19 bukit gasing 20201127 hasnoor 004
Kit RTK-Ag ditawarkan dengan harga lebih rendah berbanding di kemudahan kesihatan swasta yang lain.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 2 Disember, 2020.
Iklan

SEORANG wakil rakyat Petaling Jaya menawarkan ujian Covid-19 pada harga serendah RM70 tanpa subsidi, yang jauh lebih rendah berbanding kos ujian di kemudahan kesihatan swasta.

Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran berkata ia menggunakan ujian sama menggunakan Rapid Test Kits-Antigen (RTK-Ag) yang diperolehi dari vendor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Doktor yang jalankan pemeriksaan Covid-19 dengan kit RTK-Ag turut disahkan KKM untuk menjalankan ujian,” katanya.

Jelasnya ia ditawarkan lebih murah berbanding kos antara RM150 hingga RM180 untuk saringan di kemudahan kesihatan swasta kerana diperolehi daripada pembekal pada harga pukal.

Malah, harga kit tersebut boleh diturunkan ke paras lebih rendah jika mampu mendapatkannya dengan jumlah lebih besar, katanya.

“Saya tahu ada kemungkinan untuk saringan RTK-Ag disediakan di seluruh negara pada harga RM70 untuk semua orang, tanpa subsidi dan ia bergantung pada keputusan kerajaan,” katanya.

Kit RTK-Ag turut mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menjalankan ujian Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 2 Disember, 2020.

Kit pada harga RM70 ini dibekalkan kepada dua buah klinik yang mengambil bahagian, dan membolehkannya disediakan pada harga RM70 tanpa subsidi, katanya.

Ia kini ditawarkan untuk penduduk Bukit Gasing sahaja bermula awal bulan tetapi kini diperluas kepada seluruh rakyat dan warga asing sejak 24 November.

“... (Ini satu) usaha untuk mengurangkan kos saringan Covid-19 dan menjadikan ia dapat diakses oleh orang ramai,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Individiu yangberminat menyertai saringan ini, perlu menghubungi hotline yang berfungsi 24 jam di talian 016-306 4104, katanya.

Pengguna perlu menyertakan nama, alamat, nombor kad pengenalan dan nombor waris di talian tersebut melalui WhatsApp atau panggilan telefon untuk mendaftar, katanya.

Pesakit menunggu giliran untuk menerima rawatan di sebuah klinik swasta di Petaling Jaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 2 Disember, 2020.

“Kemudiannya anda akan mendapat tarikh temujanji melalui nombor hotline yang sama.

“Ujian akan dilakukan berpandukan janji temu sahaja dan orang ramai tidak perlu berbaris atau menunggu di klinik yang ditetapkan lebih awal.

“Ini juga bagi mengelak masalah penjarakan fizikal atau ramai orang berkumpul di sesuatu tempat,” katanya. – 2 Disember, 2020.

Iklan
Iklan