Iklan

Umno di alam sebalik mata

Hasmi Hashim4 years ago2nd Dec 2020Suara
Iklan

MEMANG Bersatu ditubuhkan tidak ada niat lain, kecuali membunuh Umno. Sementara itu, memang Muhyiddin Yassin mahu menghabisi karier politik Najib Razak. Alhamdulillah, nampak tujuan itu pun sudah tercapai. Amin.

Sejarah akan menuliskan perkara berkenaan dengan jelas. Ia menjadi lebih terang benderang apabila Perikatan Nasional (PN) pula didirikan.

Tujuan PN pula adalah untuk membunuh Barisan Nasional (BN). Kalau tidak hari ini, masanya apabila sampai pilihan raya umum (PRU) nanti. Segala tipu muslihat dan sabotaj akan dilakukan. Kalau masih belum mati juga, usahanya terus disambung selepas itu.

Sampailah Bersatu dapat menggantikan Umno, dan PN dapat menggantikan BN, barulah segala misi isi perut Muhyiddin selesai.

Retorik dia di atas pentas perhimpunan partinya tempohari, konon mahukan semua parti-parti kecil Melayu bersatu dalam wadah yang besar adalah muslihat semata-mata.

Muslihat yang sama pernah dia gunakan ketika mahu mendekati parti-parti pembangkang beberapa tahun sebelum PRU ke-14.

Rayuan Muhyiddin waktu itu mengajak bersatu untuk menyelamatkan Malaysia. Rayuannya sekarang, mengajak bersatu untuk menyelamatkan Melayu. Katanya, Malaysia tidak akan selamat kalau Melayu tidak bersatu — yakni bersatu di bawah telapak kaki dia.

Kedua-keduanya tipu. Muhyiddin tidak lebih hanya untuk menyelamatkan dirinya. Ketika tangan kanan parti-parti pembangkang menghulur salam kepadanya, akhirnya Muhyiddin menikam PH dengan tangan kiri.

Rekod Muhyiddin itu menunjukkan dia seorang yang tidak boleh dipercayai. Muhyiddin kini dengan cepat mempunyai masalah defisit keyakinan.

Sekarang, dengan tangan kiri yang sama jugalah, Muhyiddin menunggu masa untuk menikam Umno. Beberapa tikaman kecil sudah pun dilakukannya — sama ada dalam isu perebutan jawatan Menteri Besar Perak yang dibolot oleh Bersatu, mahupun di sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tempoh hari.

Peristiwa-peristiwa itu sebenarnya sudah muak untuk dicatatkan berkali-kali. Orang Umno lebih merasakan sakitnya. Seperti darah masih menitis walaupun luka sudah dibalut. Di dalam balutan luka, dibubuh pula racun serangga.

Umno begitu mudah ditipu kerana parti itu nampaknya terus hidup di alam sebalik mata selepas kalah PRU yang lalu. Umno masih sangat keliru dalam pertimbangan membuat keputusan untuk mencari jalan keluar kesan hilang kuasa 22 bulan.

Pukulan kedua yang ditanggung Umno ialah beberapa parti yang mendukung BN, telah keluar dari BN. Perkara ini menjadikan Umno semakin pasti tidak akan dapat mengambil-alih semula Putrajaya kerana terpaksa bergantung dengan parti-parti di luar BN.

Sementara parti-parti di luar BN telah dengan cepat membuat ikatan kerjasama dengan Bersatu. Bukan sahaja parti dari Sabah dan Sarawak yang memegang sejumlah kerusi parlimen yang signifikan, tetapi juga dengan PAS.

Pembentukan Muafakat Nasional (MN) sudah mula terkeluar daripada matlamat asal. PAS pun tahu, sangat jelas bahawa Umno sebenarnya memerlukan sokongan PAS untuk menang dalam PRU akan datang.

Kemenangan beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) pada mulanya memberi petanda formula dan matlamat MN boleh tercapai. Tetapi sekali lagi, semua yang diusahakan mula berderai apabila Bersatu masuk daun.

Bersatu pun mula main mata dengan PAS. Pelbagai-bagai kemewahan diberikan, termasuk jawatan duta khas bertaraf menteri ke Timur Tengah.

Dan kini PAS lebih mencintai Bersatu, ketimbang Umno yang sudah tidak punya apa-apa.

Beberapa kali telah saya tuliskan, Umno jatuh cinta dengan PAS dahulu pun adalah tanpa Umno kenal betul siapa PAS pada tahun 2000? PAS hari ini bukan PAS pada tahun 1980 atau 90-an lagi. PAS dulu ibarat anak dara yang naif dan suci. Sekarang, tidak.

PAS sekarang adalah janda tua yang punya ilmu sihir. PAS hari ini adalah PAS yang akan senantiasa mempertimbangkan untung-rugi dirinya. Makna cinta dan setia, sudah tidak ada.

Kalau Bersatu yang kini memegang jawatan perdana menteri dan sederet menteri-menteri yang sangat strategik; untuk apa PAS perlu terus berasmara dengan Umno yang di mata PAS mungkin sudah setaraf supir atau tukang kebun kepada Bersatu sahaja?

Bahkan inilah peluang bagi PAS membunuh Umno dengan sihirnya. Logiknya pun mudah, yakni sekiranya Umno mati, PAS secara automatik akan menjadi “parti Melayu” terbesar. ‘Harta’ Umno akan menjadi miliknya.

Umno: parti yang mempunyai 3.7 ahli itu hanya akan menjadi sejarah. Akan menjadi gambar hitam-putih yang digantung di sudut dinding yang sepi.

Ahli PAS sekarang lebih 1.5 juta. Ahli Bersatu pula, baru mencecah 500,000.

Bukankah dengan membunuh Umno yang mempunyai 3.7 ahli, maka PAS akan menjadi parti Melayu terbesar dengan 1.5 juta ahli? Pada waktu itu, Bersatu sekali pun mungkin bukan tandingan kepada PAS kerana Bersatu baru melepasi lima ratus ribu ahli.

Kalau Umno mati, ahli Umno boleh dibahagi dua. Separuh PAS ambil, dan separuh lagi Bersatu ambil. Dalam keadaan begitu, PAS tetap jauh lebih besar ketimbang Bersatu.

Lalu tidak ada sebab sebenarnya untuk PAS mempertahankan atau memberi tong oksigen kepada Umno. Umno — si tua yang semput dan mengidap pelbagai penyakit sehingga akalnya tidak waras — sudah sampai masanya untuk terus dipercepatkan ajalnya.

Tiga kali kiraan belah bahagi di Dewan Rakyat pada 30 November dan 1 Disember menunjukkan Umno jadi parti yang kekal hidup di alam sebalik mata itu tadi; alam khayalan tua sendiri—nyanyuk.

Ahli-ahli Parlimen Umno nampak jauh lebih kuat bertempek meraikan kemenangan Muhyiddin dan PN bagi setiap kementerian. Sehingga mereka terlupa, bahawa mereka adalah ahli BN. Bukan PN.

Betullah kata orang tua-tua, itulah sebuah suasana yang disebut sebagai “menang sorak, kampung tergadai.” Ahli parlimen Umno-BN sudah tidak peduli asal-usul mereka.

Mesej yang sampai ke luar Parlimen ialah, bagi Umno “biarlah aku mati dibunuh PAS dan Bersatu, asalkan Anwar Ibrahim tidak menjadi perdana menteri!”

PAS dan Bersatu yang sedang bercengkerama di bilik perdana pun melirik senyum melihat ‘si tua’ pelan-pelan menghembus nafas sambil berkhayal dia masih berkuasa.

Memang tragis sekali. – 2 Disember, 2020.

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

Iklan
Iklan