Iklan

Hati-hati pilih pakej pelancongan atas talian, kata persatuan hotel

Khoo Gek San4 years ago6th Dec 2020Berita
Hote
Industri pelancongan dan hotel tidak terlepas menjadi mangsa penipuan atas talian menerusi jualan tawaran pakej yang terlampau baik dan murah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2020.
Iklan

RAKYAT Malaysia perlu berhati-hati ketika membeli pakej percutian secara atas talian susulan berlaku peningkatan jumlah kes penipuan, kata Persatuan Hotel Malaysia (MAH).

Persatuan itu berkata pihak hotel dan operator pelancongan perlu memberi amaran kepada pengguna supaya berfikir dengan baik sebelum membeli sebarang pakej secara atas talian, terutama jika tawarannya terlalu baik.

Ketua Pegawai Eksekutif MAH Yap Lip Seng berkata memandangkan permintaan terhadap platform e-dagang yang semakin berkembang, penipuan atas talian menjadi makin popular, dan industri pelancongan dan hotel tidak terkecuali daripadanya.

Beliau mengingatkan pengguna media sosial untuk menyemak semula kelayakan platform beli-belah berkenaan, termausk latar belakang syarikat sebelum membuat transaksi atas talian, dan merujuk kepada maklum balas pengguna atau hubungi vendor produk itu secara langsung.

“Pada masa ini, kebanyakan hotel ada promosi jualan secara langsung. Pelanggan boleh terus ke laman web hotel untuk buat tempahan bilik. Ini lebih selamat berbanding laman web yang tidak dikenali.”

Yap mengulas tentang laman web palsu yang menjual 8,000 pakej percutian di resort pulau popular dalam tempoh dua jam, membabitkan jualan RM3.5 juta.

Resort itu kemudian mengesahkan mereka tidak pernah mengadakan jualan itu, menambah pakej yang dijual secara atas talian itu bukan atas kebenaran mereka.

“Kami menasihatkan operator hotel untuk terus buat pemantauan, semakan semula dan kemas kini saluran jualan mereka,” kata Yap.

Beliau berkata industri pelancongan yang pertama sekali terjejas ketika pandemik.

Hotel dan operator pelancongan perlu beri amaran kepada pengguna supaya berfikir masak-masak sebelum membeli sebarang pakej secara atas talian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2020.

“Industri pelancongan tidak datp menarik pelancong asing dan hanya boleh mempromosikan pelancongan domestik. Oleh itu, banyak pakej dijual dengan diskaun, ditawarkan untuk menarik pelancong tempatan.”

Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis berkata hanya agensi pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan boleh mempromosikan pakej pelancongan.

“E-dagang memudahkan operator pelancongan mempromosikan pakej mereka,” kata Uzaidi.

“Namun, hanya agensi berdaftar yang dikawal selia Akta Industri Pelancongan 1992 boleh mempromosikan pakej.”

Uzaidi berkata mereka nampak ramai menggunakan siaran web langsung untuk mempromosikan pakej pelancongan dan bilik hotel.

“Pengguna perlu lebih berjaga-jaga sebelum buat bayaran. Mereka perlu periksa smaa ada agensi pelancongan itu berdaftar dengan Kementerian Pelancongan atau tidak, adakah akaun itu milik syarikat, dan sahkan semua ini sebelum beli pakej berkenaan.”

Beliau berkata laman web rasmi Kementerian Pelancongan ada senarai agensi pelancongan berdaftar dan anak syarikat. – 6 Disember, 2020.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan