Iklan

Persaraan Teng akan satukan DAP, kata penganalisis

Khoo Gek San4 years ago6th Dec 2020Berita
49932839867 e811bb53d1 o
Dengan perletakan jawatan Teng, parti itu kini dapat memberi perhatian kepada usaha mendapatkan kembali sokongan masyarakat tanpa harus menghadapi pergaduhan dalaman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2020.
Iklan

DIKENALI sebagai ahli parti paling lantang, keputusan Teng Chang Khim untuk bersara dari politik dilihat akan menyatukan DAP, kata penganalisis.

Mereka berkata, pengumuman Teng itu tepat pada masanya memandangkan beliau sudah mencapai kedudukan dan suara di peringkat tertinggi parti.

Persaraannya juga akan menjadikan parti itu dapat menggembleng pasukan yang berhaluan sama untuk meneraju dalam pilihan raya umum akan datang.

Awal minggu ini, Teng berkata beliau tidak akan bertanding dalam pilihan raya parti dan akan mengundur diri dalam pilihan raya umum akan datang. Beliau sudah menjadi ahli parlimen selama 25 tahun.

Beliau kini merupakan Adun Bandar Baru Klang dan exco negeri Selangor. Beliau juga merupakan Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP dan ahli jawatankuasa DAP Selangor.

Saintis politik Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali memberitahu kepada The Malaysian Insight, Teng telah memberikan sumbangan besar kepada DAP dalam 25 tahun perkhidmatan politiknya.

Beliau berkata, dengan perletakan jawatan Teng, parti itu kini dapat memberi perhatian kepada usaha mendapatkan kembali sokongan masyarakat tanpa harus menghadapi pergaduhan dalaman.

“Kita dah nampak setelah DAP mendapat kuasa bersama Pakatan Harapan pada 2018, parti itu telah kehilangan sokongan Cina kerana beberapa dasar kerajaan, terutamanya isu buku teks Jawi.

“Matlamat penting semasa DAP adalah mendapatkan kembali sokongan masyarakat Cina,” kata Dr Mazlan.

Tiada protes besar

Sementara itu, pengulas hal ehwal semasa Tang Ah Chai berkata, Teng tidak pernah berpeluang untuk merebut jawatan penting CEC dalam 25 tahun kerjaya politiknya.

Beliau berkata, Teng telah mencapai tahap “siling” dengan menjadi Adun Selangor, anggota eksekutif negeri dan speaker DUN Selangor tetapi tidak pernah jadi pemimpin tertinggi DAP diperingkat nasional.

“Semua orang sedar, berdasarkan hubungan semasa antara Teng dan kepimpinan pusat. Daripada tukar kerusi DUN atau terus berkhidmat sebagai anggota exco di Selangor, tak ada peluang untuk kenaikan pangkat dalam parti.

“Ini adalah gambaran bahawa Teng telah mencapai puncaknya dalam parti itu. Setelah dinilai sendiri, dia memilih untuk bersara pada masa ini, yang merupakan pilihan terbaik untuknya,” katanya.

Tang menambah, sejak pengumuman Teng, tidak ada pemimpin pusat yang bersuara memujuknya.

Ini membuktikan persaingan sengit dan kurangnya keakraban dalam DAP, tambahnya.

Sebaliknya, para pemimpin mempunyai peluang yang lebih tinggi dengan persaraan Teng.

Mengenai apakah pemimpin kanan lain dalam parti akan mengikuti pendekatan Teng, Tang berkata, keputusan Teng memang akan menjadi peringatan kepada mereka tetapi setiap pemimpin merasakan masing-masing mempunyai ruang dan peluang untuk melonjak naik.

“Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad merasakan bahawa dia mempunyai tanggungjawab untuk tidak mengundurkan diri ketika berusia 90 tahun. Pemimpin kanan DAP seperti Lim Kit Siang dapat memainkan peranan sebagai penasihat kepada parti yang dipimpin oleh generasi muda.”

Penentang dianggap pemberontak

Kolumnis veteran dan penganalisis politik Dr Cheah See Kian berkata, perjuangan Teng dalam parti itu mengikuti corak yang telah ditetapkan oleh penentang sebelum ini seperti Lee Lam Thye dan Dr Kua Kia Soon.

“Teng bagaimanapun bernasib baik. Dia terpilih dalam setiap pemilihan parti sejak menyertai politik. Dia juga mempunyai reputasi yang baik di luar parti, hanya kerana dia tidak mempunyai kuasa,” katanya.

Cheah berkata, Teng tidak termasuk dalam senarai parti itu untuk menjadi anggota kerajaan negeri Selangor selepas pilihan raya umum 2018.

Namun beliau dimasukkan berikutan desakan Sultan Selangor.

“Sudah tentu, DAP tak selesa untuk menyebut tentang perkara ini,” kata Cheah.

Tambahnya, cita-cita Teng untuk menjadi pemimpin parti peringkat nasional selalu menghadapi tentangan kerana perebutan kuasa dalam parti.

“Walaupun dia tidak mendapat sokongan dari partinya, dia mendapat sokongan dari luar. Parti itu tidak mahu memberikannya jawatan penting tetapi terpaksa meletakkannya dalam kedudukan yang penting. Hanya kerana dia degil dan tidak mahu menyerah.

“Melihat dari keadaan Teng, budaya DAP nampak lebih jelas, mereka yang menyerang pemimpin parti dan mempunyai pendapat berbeza dianggap sebagai pemberontak. Ada banyak kejadian seperti itu dalam tempoh pimpinan Lim Kit Siang.”

Dr Lau Zhe Wei, pembantu profesor di jabatan sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, langkah Teng untuk bersara sebenarnya tidak perlu.

“Parti yang dipimpin oleh ayah Lim dan anaknya itu telah menjatuhkan banyak ahli politik yang bercita-cita tinggi di banyak negeri selama bertahun-tahun.

“Para pemimpin itu tidak lagi berada dalam parti. Bagi Teng, dia bernasib baik kerana masih memegang jawatan rasmi.” – 6 Disember, 2020.

Iklan
Iklan