Najib lawan 'kawan baik' demi prinsip Islam
Iklan
PERDANA Menteri Najib Razak menegaskan tidak akan menggadaikan kewajipan ke atasnya sebagai pemimpin umat Islam di Malaysia untuk mempertahankan kota suci Islam Baitulmaqdis biarpun Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump adalah kawan baiknya.
Beliau akhirnya menjawab dakwaan pembangkang yang mengkritik beliau susulan lawatan ke Rumah Putih September lalu.
“Ya saya disambut baik Rumah Putih. Ya, Donald Trump kawan baik saya. Ya, walau apapun saya takkan gadaikan kesucian Islam dan kewajipan.
“Wajib kenapa? Jangan lupa prinsip maqasid syariah menjaga, memelihara agama. (Prinsip) Nombor dua baru nyawa,” kata beliau di hadapan kira-kira 1,000 hadirin Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Masjid Putra, Putrajaya hari ini.
Terdahulu hari ini, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam blognya menggesa Najib dan kerajaan untuk membuat pendirian bermakna ke atas Trump termasuk menarik balik kata-kata serta janji-janjinya semasa lawatan rasmi ke AS pada September lalu.
Najib hari ini menyanggah Trump dengan berkata Malaysia tidak meminta sedekah daripada AS sebaliknya telah menjadi salah satu tempat bergantung harap kepada negara besar itu.
“Malaysia bukan negara yang mintak sedekah daripada negara lain. Kita ada maruah kita, kita ada dignity kita. Bila pernah kita buat loan (pinjaman kewangan) daripada Amerika Syarikat?
“Malah dalam banyak hal Amerika Syarikat yang minta kita. Mintak kita beli kapal terbang, minta kita melabur dalam negara mereka,” kata beliau merujuk pembelian pesawat oleh MAS dan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan ketika lawatan beliau ke Washington itu.
Himpunan hari ini dilihat kurang meriah apabila hanya segelintir daripada jangkaan 10,000 hadirin kelihatan.
Jemputan khas Najib, Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut tidak hadir dalam majlis berkenaan.
Sebaliknya hanya anak Hadi, Khalil yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS paling senior kelihatan di pentas utama program.
PKR pula menghantar Setiausaha Agung Mereka Saifuddin Nasution Ismail setelah diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Tertinggi mereka semalam.
Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad terus pulang selesai solat Jumaat di Masjid Putra tadi.
“Saya hanya solat di sini,” kata beliau sebelum menghilangkan diri sejurus solat selesai.
Hadirin bersurai kira-kira jam 3.30 petang tadi. – 22 Disember, 2017.