Iklan

Muhyiddin perlu berani dan benarkan undi percaya, kata Mahfuz 

Noel AchariamElill Easwaran4 years ago9th Dec 2020Berita
Mahfuz omar tmikamal 01
Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata rakyat mahu melihat sama ada Muhyiddin mempunyai sokongan ahli Parlimen di Dewan Rakyat.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Disember, 2020.
Iklan

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin perlu berani seperti bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu dan membenarkan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat, kata Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar.

Mahfuz berkata, apa yang berlaku di Perak adalah proses demokrasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Faizal mempunyai satu keberanian. Walaupun beliau tahu akan ada usul undi percaya ke atas beliau memberi laluan supaya speaker boleh menerima usuk tersebut diawalkan.

“Ini merupakan kejantanan sebenar seorang pemimpin politik yang mempnyai keberanian yang tinggi untuk berhadapan dengan kelompok yang cuba untuk menjatuhkannya, kata Mahfuz pada sesi Insight Talk.

Minggu lalu, Faizal kalah dalam undi usul percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

48 wakil rakyat daripada 59 kerusi DUN mengundi tidak menyokongnya manakala 10 lagi menyokong dan satu berkecuali.

Usul undi percaya terhadap Faizal yang merupakan Adun Chenderiang dibawa oleh Adun Pengkalan Baharu dari Umno, Abdul Manaf Hashim bulan lalu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun semalam berkata beliau tiada kuasa untuk memberi keutamaan kepada usul keyakinan untuk menguji sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Azhar berkata beliau tidak terikat dengan sebarang tindakan speaker DUN ketika ditanya mengapa tidak mencontohi Speaker DUN Perak Mohamad Zahir Abdul Khalid yang membenarkan usul percaya terhadap menteri besar dibentangkan Jumaat lalu.

Sejak Mei, Pakatan Harapan memfailkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin di Parlimen.

Azhar sebelum ini juga berkata, beliau tidak dapat menaikkan usul dalam aturan mesyuarat kerana urusan kerajaan perlu didahulukan.

Mahfuz berkata, keterbukaan Faizal dan keberaniannya patut dicontohi oleh Muhyiddin.

“Faizal bersetuju dengan undian usul undi percaya (dan tewas). Beliau menerimanya dengan hati terbuka,” katanya.

“Faizal telah mencetuskan diri dia untuk menjadi motivator kepada Tan Sri Muhyiddin untuk juga menunjukkan kejantanannya sebagai perdana menteri bagi memberikan laluan kepada usul tidak percaya yang telah tersenarai dalam order paper di peringkat Parlimen.”

Tambah naib presiden Amanah itu, mana-mana menteri boleh mendapat izin daripada perdana menteri untuk memberikan laluan diawalkan usul undi tidak percaya.

“Rakyat menanti pendirian Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Sekiranya tiada bermakna akan menjadi satu pertanyaan apakah benar perdana menteri ini tidak punya kejantanan.”

Mahfuz berkata Muhyiddin perlu diuji dengan undi usul percaya bagi melihat sama ada beliau masih ada sokongan ahli Parlimen. 

“Kami mahu speaker memberi laluan kepada undi tidak percaya.

“Itu sebabnya penting untuk menteri berdiri dan meminta usul itu.”

Oktober lalu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dari parti Pejuang turut mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin dan menyatakan beliau sudah hilang keyakinan dewan. 

Ini merupakan usul kedua bekas perdana menteri itu selepas usul pertamanya pada Mei tidak mendapat perhatian di Dewan Rakyat. 

Ahli Parlimen pembangkang berkata usul mereka sepatutnya dibenarkan di bawah Peraturan Mesyuarat seksyen 26 (10) dibaca bersama seksyen 27(3). 

Bagaimanapun, usaha Dr Mahathir untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin ditolak dua kali dan diletakkan di senarai hujung aturan mesyuarat. – 9 Disember, 2020.  

Iklan
Iklan