Hadi tak datang, tetap sokong solidariti, kata anak
Iklan
DENGAN wajah beliau terpampang bersama Perdana Menteri Najib Razak dalam setiap poster dan promosi Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis hari ini, tiada penjelasan diberikan mengenai ketidakhadiran Timbalan Pengerusi Kesatuan Ulama Dunia dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Malah tiada satupun pemimpin senior PAS kelihatan kecuali anak Hadi, Khalil yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS menggantikan Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dalam forum khas serta ayahnya dalam memberi ucapan di pentas utama hari ini.
Ketika ditanya, Khalil hanya berkata bapanya itu sentiasa komited dalam perjuangan dan akan hadir ke program akan datang.
“InsyaAllah, beliau akan hadir dalam program-program akan datang. Saya percaya akan ada lagi program-program akan datang.
“Dan berdasarkan kepada pendirian beliau sejak daripada dahulu tentang isu Palestin, ini bukan kali pertama untuk memastikan rakyat Malaysia, kerajaan bersama-sama dalam isu Palestin,” katanya ketika ditemui wartawan di Masjid Putra hari ini.
Himpunan hari ini hanya menghimpunkan kira-kira 1,000 hadirin, jauh daripada sasaran 10,000 penganjur sebelum ini.
Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengajak semua rakyat dan NGO termasuk parti Pakatan Harapan untuk bersama menunjuk perasaan dalam himpunan mengutuk keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memgiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Hadi dan Najib sebelum ini pernah bersama dalam himpunan mengutuk keganasan kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya di negara itu pada Disember tahun lalu. – 22 Disember, 2017.