Iklan

Ahli Parlimen Klang usul Putrajaya beri dana bantuan sewa PKS

Elill Easwaran4 years ago11th Dec 2020Berita
Charles santiago
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata bantuan tersebut perlu untuk mengurangkan beban kos operasi PKS yang tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Disember, 2020.
Iklan

KERAJAAN dicadang perkenalkan program dana bantuan sewa (Rental Relief Fund) sebagai inisiatif membantu perusahan kecil dan sederhana (PKS) menghadapi impak pandemik Covid-19 ke atas ekonomi.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata bantuan tersebut perlu untuk mengurangkan beban kos operasi PKS yang tinggi.

“Kami mencadangkan kerajaan beri peruntukan RM8,000 sebulan kepada mikro PKS selama enam bulan,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Beliau juga berkata dana yang dijangka RM1 bilion boleh diambil dari RM20 bilion Dana Bantuan Covid-19 yang akan dibentangkan di Parlimen minggu depan.

Menurut ahli Parlimen DAP itu ramai usahawan mikro PKS terpaksa meminjam wang dari peminjam tidak berlesen untuk membayar sewa premis dan gaji pekerja.

“Bantuan disasarkan terutamanya kepada pengusaha mikro PKS kerana mereka ini sukar untuk bertahan.

“Bagi yang sudah lebih 15 tahun berada dalam industri, mungkin tiada masalah kerana mempunyai cukup dana untuk memastikan perniagaan terus beroperasi,” kata Charles.

Usahawan yang mengikuti sidang media dalam talian hari ini menyambut baik cadangan tersebut, sambil menambah bantuan akan menjamin kelangsungan operasi perniagaan.

“Kos sewa saya sekitar RM4,500 sebulan dan walaupun pemilik premis beri diskaun 30%, saya masih tidak mampu membayar sewa kerana perniagaan terjejas teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” kata Diccam Lourdes, yang mengusahakan kedai jahitan dan butik pakaian di Brickfields.

Tambah Diccam, perniagaannya merosot 70% sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) dilaksanakan pada Mac, menyebabkan dua pekerja terpaksa diberhentikan.

“Kalau kerajaan tak luluskan bantuan sewa ini, saya tiada pilihan selain tutup perniagaan sebab tak mampu nak bayar sewa,” katanya, sambil menambah sewanta tertunggak sebanyak RM32,000. – 11 Disember, 2020.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan