Kelab malam, pub masih dilarang beroperasi, kata Ismail Sabri
Iklan
PREMIS kelab malam dan pub masih tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
“Arahan kerajaan amat jelas iaitu tidak membenarkan kelab malam dan pusat hiburan kembali beroperasi buat masa ini, dan masih di dalam senarai sebagai terlarang.
“Namun demikian tangkapan kerana operasi pusat hiburan berlaku hampir setiap hari, walaupun sudah ada makluman dan peringatan dikeluarkan.
“Saya ingin mengingatkan dan meminta sekali lagi kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bertegas dan tidak bertolak ansur sama ada menarik semula lesen premis terbabit, yang sekaligus akan menghentikan operasi mereka untuk selama-lamanya jika masih berdegil,” katanya pada sidang media hari ini.
Ismail Sabri berkata seramai 292 orang ditangkap pada 12 Disember lalu, jumlah tertinggi direkodkan kerana terbabit dalam aktiviti kelab malam dan pub.
Pusat hiburan dan kelab malam tidak dibenarkan beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac lalu bagi membendung penularan Covid-19.
Larangan masih dikekalkan walaupun kerajaan membuka beberapa sektor ekonomi di bawah PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan. – 15 Disember, 2020.