Iklan

Kuarantin 7 hari untuk pengembara jika negatif 3 hari sebelum penerbangan

Elill Easwaran4 years ago15th Dec 2020Berita
Reopen 8
Pengembara yang kembali ke Malaysia dari luar negara boleh dikurangkan kepada seminggu sekiranya mereka mengambil ujian calitan tiga hari sebelum penerbangan dan disahkan negatif.– Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 15 Disember, 2020.
Iklan

TEMPOH kuarantin Covid-19 bagi pengembara yang kembali ke Malaysia dari luar negara boleh dikurangkan kepada seminggu sekiranya mereka mengambil ujian calitan tiga hari sebelum penerbangan dan disahkan negatif, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob hari ini.

“Bagi mereka yang sudah menjalani ujian calitan tiga hari sebelum penerbangan, dan jika keputusannya negatif, apabila tiba di Malaysia mereka hanya perlu dikuarantin tujuh hari.

“Sekiranya mereka tidak melakukan ujian calitan sebelum penerbangan, mereka perlu dikuarantin selama 10 hari sebaik tiba di Malaysia,” katanya pada sidang media harian perintah kawalan pergerakan Covid-19 hari ini.

Ini sejajar dengan keputusan kerajaan untuk mengurangkan tempoh kuarantin Covid-19 daripada 14 hari kepada 10 hari yang diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dua hari lalu.

Pengurangan tempoh kuarantin tertakluk kepada mereka yang merupakan kontak rapat dengan individu yang disahkan positif Covid-19, dan juga mereka yang kembali ke Malaysia dari luar negara, kata Ismail Sabri yang juga menteri pertahanan.

Ismail Sabri berkata negara seperti United Kingdom, Jerman dan Belgium mengurangkan tempoh kuarantin daripada 14 hari kepada 10 hari manakala Perancis menguatkuasakan kuarantin wajib selama tujuh hari.

Menjelaskan mengenai keputusan kerajaan untuk mengurangkan tempoh kuarantin, Dr Noor Hisham baru-baru berkata kadar jangkitan adalah tertinggi pada minggu pertama setelah terdedah kepada kes positif Covid-19.

Tempoh kuarantin 14 hari sebelum ini disyorkan selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pakar lain menganggarkan tempoh inkubasi untuk Covid-19 adalah antara dua hingga 14 hari. – 15 Disember, 2020.

Iklan
Iklan