4 ditahan menyamar pegawai SPRM, minta rasuah tutup kes
Iklan
AGENSI antirasuah menahan empat lelaki yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan timbalan pendakwa raya kerana disyaki meminta rasuah RM60,000 kononnya untuk menyelesaikan satu kes yang sedang disiasat.
Tiga ditahan di sebuah hotel di Putrajaya petang semalam, termasuk perancang utama yang mengaku pengarah SPRM, sementara seorang lagi ditahan di rumahnya di Melaka malam tadi, kata sumber agensi.
“Keempat-empat lelaki yang menyamar sebagai pegawai kanan SPRM dan timbalan pendakwa raya telah meminta rasuah kononnya bagi menukarkan pertuduhan ke atas pengadu kepada kesalahan yang lebih ringan dan membuka semula akaun bank pengadu yang dikatakan dibekukan oleh SPRM,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pengarah Perisikan SPRM, Azmi Kamaruzaman yang mengesahkan tangkapan berkata semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini dan dikenakan perintah reman enam hari sehingga Selasa.
Katanya, mereka disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.
Sumber memberitahu hasil risikan mendapati suspek sanggup masuk ke kawasan Ibu Pejabat SPRM untuk mengambil gambar bagi meyakinkan mangsa bahawa mereka sememangnya pegawai SPRM.
“Pergerakan mereka dirakam CCTV Ibu Pejabat SPRM.
“SPRM juga sedang mengesan seorang wanita yang merupakan ahli kumpulan ini bagi membantu siasatan. Identiti beliau telah dikenalpasti dan gerakan mengesannya sedang giat dijalankan,” kata sumber. – 17 Disember, 2020.