Ejen bimbang masa depan susulan program MM2H beku
Iklan
EJEN dan perunding Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) kini bergelut untuk meneruskan operasi syarikat susulan kerajaan memutuskan untuk membeku program yang telah menyumbang RM40 bilion kepada ekonomi negara.
The Malaysian Insight dimaklumkan mereka tidak pasti berapa lama lagi dapat bertahan, manakala ramai yang terpaksa menutup perniagaan akibat hilang punca pendapatan.
Pengarah Urusan Iconic Living Group Michael Cheam berkata beliau agak bernasib baik kerana mendapat pinjaman bank sebelum pembekuan diumumkan.
Cheam berkata beliau menggunakan wang pinjaman itu untuk meneruskan operasi perniagaan dan membayar gaji pekerja. Bayaran ansuran pinjaman perlu dilunaskan dalam tempoh lima tahun, katanya.
“Setakat ini, saya masih kekalkan 14 pekerja saya. Saya gunakan wang simpanan syarikat untuk terus beroperasi.
“Pembekuan program ini amat membebankan semasa pandemik Covid-19. Pekerja juga setiap hari tertekan, bimbang akan diberhentikan.
“Kami masih perlukan pekerja untuk proses pembaharuan visa pelanggan. Setakat ini kami masih mampu bertahan dengan memotong gaji dan menyesuaikan masa bekerja,” katanya.
Cheam berkata beliau tidak pasti berapa lama syarikatnya dapat bertahan, sambil menambah mungkin terpaksa juga memberhentikan pekerjanya andai program MM2H terus dibekukan.
“Kami beritahu pekerja andainya terpaksa diberhentikan, mereka akan diberi keutamaan untuk diambil bekerja semula nanti.”
Menurut Cheam, syarikatnya sebelum ini banyak menguruskan permohonan MM2H bagi warga Eropah dan Asia Selatan seperti Korea Selatan, Taiwan dan China.
Sebelum pandemik Covid-19 melanda, ramai perunding MM2H menggunakan wang sendiri untuk mempromosikan program tersebut di Hong Kong yang ketika itu bergolak akibat rusuhan.
“Kami juga menyertai pameran pelancongan antarabangsa di Jerman dan Italy menggunakan perbelanjaan sendiri untuk mempromosikan program MM2H.
“Kerajaan tak bantu promosikan program ini, kebanyakan dibuat oleh perunding. Kemudian kerajaan beku program tanpa beri penjelasan sepenuhnya.
“Ini sudah tentu akan beri kesa negatif kepada negara. Sayang sekali kerajaan tidak menghargai usaha kami,” kata Cheam.
Menghadapi masalah kewangan
Pemilik Bosl Planning (MM2H) Sdn Bhd Raja Ummi Hairima turut bimbang perniagaannya ditutup jika program dibekukan terus.
Raja Ummi berkata beliau tidak mampu untuk mengekalkan pekerja dan semua kerja pejabat terpaksa dilakukan sendiri. Kebanyakan pelanggannya adalah warga Jepun.
Menurutnya, walaupun Putrajaya menolak permohonan MM2H selepas ia dibekukan, beliau berharap pelanggannya akan memohon semula sebaik sahaja ia disambung semula.
Bagi perunding MM2H, yang hanya mahu dikenali sebagai Mona, beliau telah lima tahun berkecimpung dalam industri ini sejak lima tahun yang lalu.
“Sejak tiada pendapatan, saya menjual biskut untuk menyara hidup. Syarikat mula memotong gaji sejak Ogos dan saya faham kesukaran yang sedang majikan hadapi.
“Syarikat hanya ada dua pekerja. Kami hanya ke pejabat sekali seminggu. Tiada dokumen untuk diproses, jadi tiada keperluan untuk ke pejabat,” kata wanita berusia 33 tahun itu.
Seorang lagi perunding, Reeve Lee, berkata beliau sudah berputus asa untuk meneruskan perniagaan dalam sektor ini.
Beliau yang sebelum ini mengasaskan syarikat bersama seorang rakan, kini beralih kepada industri perladangan pada September ekoran pendapatan merosot sejak Mac sehingga terpaksa tutup operasi pada Jun.
“Sempadan Malaysia sekarang ditutup. Kita tidak tahu bila program MM2H akan disambung semula. Bukan kami sahaja, banyak lagi syarikat yang berhempas-pulas untuk bertahan.
“Sejak menceburi industri ini lima tahun lalu sudah dua kali program ini dibekukan. Saya tak pasti kalau ini nasib malang. Apabila kerajaan bertukar, ia akan dikaji semula.
“Tetapi kali ini tempoh pembekuan sangat lama dan kami sukar untuk jelaskan kepada pemohon,” jelasnya.
Masih belum ada kepastian bilakan Putrajaya akan menarik semula pembekuan MM2H.
Sempadan negara juga masih ditutup bagi membendung penularan Covid-19. – 18 Disember, 2020.