Tokoh korporat kutip dana RM750,000 melalui perlawanan amal skuasy
Iklan
TOKOH-tokoh korporat hari ini menyerahkan RM750,000 yang dikutip menerusi perlawanan amal skuasy, yang akan disumbangkan kepada golongan memerlukan melalui badan bukan kerajaan (NGO).
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd Tony Fernandes, antara yang terlibat dalam perlawanan itu, memuji usaha murni membantu mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Dalam situasi yang mencabar ini, masih ada ramai orang yang sudi membantu, dan sikap ini harus dipuji.
“Kita juga berharap dapat meningkatkan kesedaran terhadap gelandangan dan keperluan Orang Asli. Kita mahu lebih ramai rakyat Malaysia peka kepada isu ini,” katanya semasa majlis penyampaian cek perlawanan amal “Battle of the Bulge” di Kuala Lumpur hari ini.
Fernandes dan ahli perniagaan Mohamad Salim Fateh Din berentap dalam satu perlawanan amal skuasy pada Oktober lalu, dan berjaya mengutip dana RM750,000 dari syarikat-syarikat korporat dan rakan mereka.
Dana akan disalurkan melalui lima NGO iaitu Pertiwi Soup Kitchen, Kechara Soup Kitchen, Good Shepherd Services, Yayasan Chow Kit dan Malaysian Relief Agency.
Pengerusi Yayasan ECM Libra Kalimullah Hassan antara tokoh korporat yang menyumbangkan dana.
Beliau berkata sejak Mac lalu Yayasan ECM Libra telah melancarkan beberapa inisiatif untuk membantu golongan memerlukan semasa pandemik Covid-19.
“Sejak Mac kami menyumbang dana untuk membeli pensanitasi tangan dan pelitup muka, selain bantuan makanan untuk 1,600 keluarga dan 620 individu.
“Kami peruntukkan lebih RM3 juta untuk membantu gelandangan, masyarakat Orang Asli dan mereka yang tinggal di kawasan perumahan kos rendah,” katanya.
Yayasan ECM Libra menyumbang RM200,000 kepada perlawanan amal berkenaan. – 18 Disember, 2020.