30% syarikat perunding MM2H bakal tutup, lapor tinjauan
Iklan
LEBIH kurang satu pertiga daripada perunding dan ejen untuk program Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) kemungkinan akan menutup perniagaan mereka dalam tiga bulan, menurut tinjauan yang diadakan.
Persatuan Perunding MM2H yang meninjau 108 syarikat perunding baru-baru ini mendapati 31.5 peratus daripada syarikat-syarikat itu tidak dapat bertahan lebih daripada tiga bulan jika penangguhan program kerajaan itu berlanjutan.
Dari mereka yang ditinjau, 26.9 peratus berkata, mereka tidak mempunyai simpanan tunai, sementara 23.1 peratus tidak pasti berapa lama rizab yang ada dapat bertahan. Hanya 12 peratus yang berkata mereka mungkin dapat bertahan empat hingga enam bulan lagi.
Dari segi keyakinan terhadap kelangsungan perniagaan mereka, 34.3 peratus meluahkan rasa gawat, selebihnya tidak optimis, dan hanya 13 peratus berkata mereka ada sedikit harapan.
Dari segi pendapatan baru-baru ini, 50 peratus berkata mereka tidak memperoleh sebarang pendapatan dalam tiga bulan terakhir, 27,8 peratus berkata pendapatan menjunam 90 peratus, sementara 19,4 peratus mengatakan pendapatan mereka menurun antara 50 peratus dan 90 peratus.
Hasil tinjauan juga menunjukkan 52.8 peratus syarikat perunding MM2H mungkin menangguhkan operasi pada suku pertama 2021, manakala 19.4 peratus yang lain berkata mereka akan tutup.
Bagi program yang telah membantu membawa wang ke Malaysia sejak dilancarkan pada 2002, 75 peratus syarikat perunding berkata mereka tidak mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan atau institusi kewangan, sama ada dari segi geran, pinjaman yang disokong kerajaan atau moratorium pembayaran balik pinjaman.
Program itu, yang telah menjana pendapatan lebih kurang RM40 bilion Malaysia, dibekukan sementara pada bulan Mac untuk dikaji semula keadaan dan proses permohonannya, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Nancy Shukri.
Awal tahun ini, beliau berkata kajian itu sepatutnya siap pada Disember, namun sehingga sekarang belum ada sebarang perkembangan mengenai perkara itu.
Semalam The Malaysian Insight melaporkan banyak syarikat perunding MM2H yang akan ditutup.
Presiden Persatuan Ejen MM2H Anthony Liew berkata, 108 yang menjawab tinjauan itu adalah dari jumlah keseluruhan 250 anggota.
Sehingga kini, 30 peratus syarikat perunding MM2H telah mengurangkan operasi dan mungkin mengecil dalam tiga bulan mendatang.
Dari segi jumlah pekerja yang terjejas, tinjauan mendapati 51.9 peratus syarikat mempunyai antara dua hingga empat pekerja sebelum pandemik, 15.7 peratus mempunyai antara lima dan lapan pekerja, dan 12 peratus mempunyai lebih dari lapan pekerja.
Sekitar 19 peratus meletakkan diri mereka sebagai bekerja sendiri.
Pandemik Covid-19 juga menyaksikan lebih banyak syarikat perunding mengecilkan dan berubah haluan ke kategori bekerja sendiri, yang mana meningkat sebanyak 32.4 peratus.
Lain-lain juga mengurangkan bilangan pekerja, dan hanya 1.8 peratus syarikat yang mengekalkan lebih daripada lapan pekerja.
Dari segi penyesuaian diri dengan pandemik dan kehilangan pendapatan, 46.3 peratus atau 50 syarikat beralih ke waktu kerja yang fleksibel selain membuat pemotongan gaji.
Langkah kedua yang paling umum untuk terus bertahan adalah dengan mempelbagaikan perkhidmatan perniagaan dan perundingan, seperti yang dilakukan oleh 39.8 peratus atau 43 syarikat.
Langkah lain yang diambil termasuk pemberhentian pekerja, menjual aset tetap untuk meningkatkan aliran tunai, penggabungan cawangan, mengambil moratorium pembayaran pinjaman, dan memindahkan premis atau berkongsi sewa untuk mengurangkan kos.
Oleh kerana permohonan baru untuk program ini dibekukan, Liew berkata, kebanyakan syarikat yang beroperasi berada dalam keadaan “semi-aktif” dan hanya berurusan untuk pembaharuan visa untuk pemegang visa MM2H sedia ada.
Tidak ada petunjuk yang jelas apakah kerajaan akan menghidupkan kembali program ini, yang juga bergantung pada pembukaan kembali sempadan Malaysia kepada pelancong.
Warga luar yang memohon program ini perlu hadir secara fizikal di Malaysia untuk proses itu. – 19 Disember, 2020.