Iklan

Kes saman Indira Gandhi terhadap KPN didengar tahun depan, kata peguam

Noel AchariamElill Easwaran4 years ago19th Dec 2020Berita
M indira gandhi (2)
M. Indira Gandhi memfailkan saman RM100 juta terhadap KPN kerana gagal melaksanakan perintah mahkamah untuk menangkap bekas suaminya dan mengembalikan anaknya Prasana Diksa yang kini berusia 12 tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2020.
Iklan

SAMAN RM100 juta yang difailkan oleh M. Indira Gandhi terhadap Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun depan, kata peguam bekas guru tadika itu.

Peguam Rajesh Nagarajan memberitahu The Malaysian Insight tarikh perbicaraan bagaimanapun bergantung kepada hakim.

“Kami berharap perbicaraan dijalankan pada pertengahan tahun depan, tetapi memandangkan banyak kes tertangguh disebabkan pandemik Covid-19, ada kemungkinan ia lewat sedikit,” katanya.

Indira memfailkan saman terhadap Hamid kerana gagal melaksanakan perintah mahkamah untuk menangkap bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah dan mengembalikan anaknya Prasana Diksa yang kini berusia 12 tahun.

Beliau sebelum ini merancang untuk mengadakan mogok lapar di depan Bukit Aman pada 11 September lalu selepas gagal mendapatkan maklum balas daripada pihak polis mengenai perkembangan terkini mengenai anaknya.

Pada 1 September lalu Hamid setuju untuk bertemu Indira untuk berbincang mengenai kes kehilangan Prasana yang dilarikan oleh Riduan lebih sedekad yang lalu.

Pertemuan yang dijadual diadakan pada 4 September itu bagaimanapun tidak jadi kerana Hamid terpaksa menghadiri mesyuarat di Putrajaya.

Menurut peguam Rajesh, mereka mengemukakan pernyataan tuntutan pada 18 November, diikuti pernyataan pembelaan oleh defendan pada 2 Disember lalu.

Indira selaku plaintif pula memfailkan balasan terhadap pernyataan pembelaan pada Rabu lalu.

“Pengurusan kes pada 30 Disember dan selepas itu kami akan menerima arahan mahkamah untuk mengemukakan dokumen pengurusan kes sebelum perbicaraan penuh.

“Kami menjangkakan tarikh perbicaraan dimaklumkan dalam tempoh dua ke tiga bulan kemudian,” kata Rajesh.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi Ipoh mengarahkan Jabatan Peguam Negara menyerahkan laporan terperinci mengenai usaha polis menjejaki Riduan dan Prasana seperti yang diperintahkan mahkamah pada 2014.

Menurut Rajesh, Pesuruhjaya Kehakiman Bhupindar Singh memberi peguam negara yang mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiga minggu untuk mengemukakan 79 afidavit mengenai usaha yang untuk mengesan Riduan dan Prasana.

Beliau berkata mahkamah mengarahkan demikian selepas polis mengabaikan perintah yang dikeluarkan pada 30 Mei 2014 dan gagal mengemukakan afidavit sejak itu, sama ada kepada mahkamah atau pasukan undang-undang Indira.

“Mereka (polis) harus mengemukakan kenyataan bersumpah setiap bulan dan perintah ini dikeluarkan enam tahun lalu.

“Sehingga kini mereka belum menyerahkan afidavit. Sekarang mereka berhutang dengan Indira sebanyak 79 afidavit,” kata peguam.

Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan Riduan yang memeluk Islam pada 2009 dipenjarakan sehingga beliau memulangkan Prasana kepada Indira. 

Pasangan itu telah bercerai pada 8 Ogos 2012.

Indira memfailkan semakan kehakiman di mahkamah sama bagi mendapatkan perintah mandamus supaya perintah komital dikuatkuasakan terhadap Riduan.

Mahkamah Tinggi Ipoh pada 12 September 2014 membenarkan permohonannya namun keputusan itu diketepikan Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016 membenarkan rayuannya dan memutuskan supaya Muhammad Riduan ditangkap dan waran komital perlu dilaksanakan terhadap lelaki itu. – 19 Disember, 2020.

Iklan
Iklan