2021 'kelam' jika pub, kelab malam terus ditutup, kata operator
Iklan
SEBILANGAN besar kelab malam dan bar bergelut untuk terus bertahan kerana industri itu terjejas teruk akibat wabak Covid-19, kata Persatuan Pub, Kelab Malam dan Bar Lembah Klang.
Penasihat perhubungan media persatuan Jeremy Lim memberitahu The Malaysian Insight, 100% ahli mereka terjejas akibat wabak itu ketika para pengedar melihat tahap hutang lapuk mereka meningkat.
Pemain industri juga berkata perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan pada November memberi kesan kepada keseluruhan industri makanan, minuman dan hiburan.
Lim berkata, mereka melihat penurunan perniagaan sebanyak 70% sejak PKPB dijalankan.
“Secara peribadi, saya terlibat dengan banyak perniagaan dan kebanyakannya setiap hari berhempas-pulas.
“Mereka menantikan perkembangan vaksin yang sedang berjalan dan akan menjadi satu keajaiban jika mereka dapat membuka semula premis pada suku kedua 2021,” katanya.
Pada Selasa, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap kelab malam dan pub yang masih beroperasi setiap hari.
Beliau berkata pihak berkuasa tempatan akan membatalkan lesen pemilik sekiranya mereka masih enggan bekerjasama dan menutupnya secara kekal.
Lim berkata sekurang-kurangnya 30% (premis) menghentikan operasi sementara 20-30% lagi masih belum dibuka.
“Angka ini tidak diaudit, ia diperolehi daripada perbincangan yang sedang berlangsung.
“Kami tidak dapat membayangkan berapa banyak rakyat Malaysia terbabit dalam industri hiburan, makanan dan minuman yang kini tidak bekerja.”
Lim berkata berdasarkan anggaran, sekurang-kurangnya 7,000 perniagaan kini terjejas dan itu bukan hanya perniagaan itu sahaja bahkan perniagaan berkaitan dengannya.
“Kami mempunyai agensi pembersih, pembekal alkohol, pengedar bahan makanan mentah dan syarikat keselamatan. Ada juga penghibur dan lain-lain.”
Namun, beliau berkata bahwa mereka berterima kasih kepada Dewan Bandaraya (DBKL) kerana membenarkan pengusaha kelab dan bar untuk memohon lesen premis perniagaan tambahan sehingga mereka dapat mengubah perniagaan sebagai bukan premis hiburan bagi sementara waktu.
Lim berkata pilihan yang diberikan oleh DBKL tersebut membolehkan mereka bertahan daripada kesan wabak tersebut.
“Secara peribadi, saya rasa ini bukan pengakhiran. DBKL menawarkan jalan keluar kepada operator. Kami boleh menukar corak perniagaan dan berusaha untuk bertahan buat sementara waktu.
“Paling penting adalah kakitangan kami kembali bekerja, dapat bayar hutang, sewa dan cukai kami,” katanya.
Pub dan pusat hiburan malam tidak dibenarkan beroperasi sejak PKP pertama kali dilaksanakan di seluruh negara pada pertengahan Mac.
Mereka kekal dilarang untuk membuka premis selain beberapa sektor ekonomi lain yang masih tidak dibenarkan beroperasi walaupun PKPB dan PKPP dilaksana. – 20 Disember, 2020.
Berita penuh di sini