Umno dan PAS masih berunding, kata Annuar Musa
Iklan
KENYATAAN Asyraf Wajdi Dusuki berhubung pengagihan kerusi yang tidak lagi melibatkan Umno dan PAS mencetuskan salah faham, kata Annuar Musa.
Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata Umno masih berunding dengan parti Islam itu mengenai pengagihan kerusi menjelang pilihan raya akan datang.
“Rundingan dengan PAS berjalan lancar tetapi tahap seterusnya adalah fasa gabungan dengan Perikatan Nasional (PN),” kata setiausaha agung Barisan Nasional (BN) itu semasa program bantuan dan pengagihan pelitup muka untuk penduduk Taman Segar, Cheras, pagi ini.
Beliau berkata apa yang dimaksudkan oleh Asyraf ialah Umno dan PAS sedang berbincang ke arah rundingan secara rasmi.
“Begitu juga dengan Umno seperti bagaimana kita katakan dalam BN, kita perlu mempunyai kerangka kerja dengan MIC, MCA dan PBRS terlebih dahulu,” katanya.
Pada Jumaat, Asyraf berkata Umno tidak lagi berunding dengan PAS berhubung pembahagian kerusi untuk PRU15 dan sebaliknya akan mengadakan perbincangan dengan BN dan PN.
Beliau berkata ini kerana PAS yang membentuk pakatan Muafakat Nasional dengan Umno pada September 2019, kini bergabung dengan PN.
“Kerjasama Umno dan BN dengan PN untuk PRU15 nanti banyak bergantung kepada soal persefahaman dalam pengagihan kerusi.
“Ini bermakna pengagihan kerusi tidak lagi berasaskan perbincangan Umno dengan PAS tetapi BN dengan PN kerana PAS sudah secara rasmi menyertai PN sebagai parti komponennya,” katanya dalam catatan di Facebook.
Asyraf berkata Umno dan Majlis Tertinggi BN akan menyokong kerajaan PN sehingga PRU15 dan Umno tidak akan menyertai PN sebagai salah satu parti komponennya.
“Setakat ini PN hanya dianggotai oleh Bersatu, PAS, Star dan SAPP.
“Majlis Tertinggi Umno dan Dewan Tertinggi BN pula sudah membuat keputusan hanya mendukung kerajaan PN, yang dibentuk atas persefahaman 12 parti, sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Mengenai penubuhan Majlis Presiden PN, Asyraf berkata ia diusulkan oleh Umno semasa pembentukan kerajaan PN pada Mac, tetapi baru dilaksanakan sekarang.
“Tujuan (Majlis Presiden) adalah untuk memastikan setiap polisi penting negara dibincang terlebih dahulu dengan rakan yang terdiri daripada parti politik yang bersetuju membentuk kerajaan ini.”
Majlis Presiden PN mempunyai sekretariat yang terdiri daripada pemimpin parti dalam PN. – 20 Disember, 2020.