Iklan

Restoran Cina kosong, tiada tempahan jamuan akhir tahun

Khoo Gek San4 years ago30th Dec 2020Berita
50063838033 b6a09491d1 o
Kebiasaannya pada waktu ini majikan akan mengadakan acara makan malam di restoran bagi menghargai usaha keras pekerja mereka sepanjang tahun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 30 Disember, 2020.
Iklan

BANYAK restoran tidak menerima sebarang tempahan daripada majikan untuk acara makan malam akhir tahun ekoran pandemik Covid-19, kata pengusaha.

Mereka berkata kebiasaannya pada waktu ini majikan akan mengadakan acara makan malam bagi menghargai usaha keras pekerja mereka sepanjang tahun.

Presiden Persatuan Kopitiam dan Restoran Koo Soo Kwong Choon Tong Pulau Pinang Vinah Yee berkata restoran Cina biasanya sudah penuh jika bukan disebabkan pandemik.

Katanya tahun ini mereka hanya menerima tempahan untuk acara makan malam keluarga.

“Tahun sebelum ini, kita menerima tempahan penuh tetapi tahun ini tempahan menurun,” katanya.

Pengerusi Peniaga Koo Soo San Yuen Taiping Law Eu Wei berkata kepada The Malaysian Insigh bawa perniagaan restoran di Taiping tahun ini amat perlahan.

Law berkata tempahan biasannya dibuat sebulan lebih awal, tetapi tahun ini mereka hanya ditanya tentang harga dan senarai hidangan.

“Harga hidangan akhir tahun ini tidak sama seperti tahun lepas kerana berlaku penurunan antara 20% dan 30%.

“Selain itu, ada keperluan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti mengehadkan enam orang satu meja berbanding 10 orang sebelum ini.

“Pengurangan ini juga menjejaskan jumlah hidangan pada satu-satu meja.”

Restoran mungkin akan kembali rancak namun sewa dewan jamuan masih perlu dibayar sedangkan pendapatan hampir tiada kerana arahan larangan berhimpun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Disember, 2020.

Dewan bankuet yang kelam

Pengarah Urusan Kumpulan Loon Sing Shi Wen Kang berkata bagi tempoh dua tahun lepas, banyak syarikat mengadakan acara makan malam hujung tahun bersekali semasa sambutan Tahun Baharu Cina.

Beliau percaya perkara yang sama akan berlaku kali ini.

“Kita telah bersedia dari segi mental untuk ini, acara makan akhir tahun sukar dilakukan akibat pandemik.

“Setiap hari kami perlu tahu jumlah kes, sama ada masih empat digit atau tidak. Saya fikir, syarikat-syarikat perlu ambil pendekatan lihat dan tengok,” katanya.

“Sesetengah pelanggan kerap tanya jika arahan perintah kawalan pergerakan masih berlangsung Januari ini. Macam mana saya nak jawab?”

Kumpulan Loon Sing mempunyai beberapa restoran di Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur. Shi berkata, tahun 2020 merupakan tahun paling getir buat mereka dan jika situasi tidak berubah, kumpulan itu mungkin perlu mengatur semula strategi.

“Kita tak boleh terus menerus buang duit. Kita tak ada pilihan selain perkecilkan atau pindah ke pasar raya untuk teruskan operasi,” katanya.

Presiden Persatuan Restoran dan Chef Koo Soo Malaysia Woo Teu Hoon berkata, perniagaan restoran sedang bersedia untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina untuk merancakkan kembali perniagaan, namun itu semua bergantung kepada Covid-19.

Katanya perniagaan restoran akan kembali rancak namun sewa dewan jamuan masih perlu dibayar sedangkan pendapatan hampir tiada kerana arahan larangan berhimpun.

Wong berkata, menurut SOP Covid-19, dewan mampu menampung sehingga 100 meja sahaja, di mana setiap meja hanya dibenarkan enam kerusi, yang membebankan untuk mengadakan majlis perkahwinan.

Perniagaan ini masih lagi berharap majlis hujung tahun rancak tetapi sehingga kini masih belum nampak sinarnya lagi untuk diteruskan.

“Sudah tidak ada harapan lagi untuk sebarang perniagaan bagi dewan jamuan untuk tahun 2020. Dengan PKPD dan larangan penjualan alkohol, ia seumpama menuang air pada daun keladi. Mereka boleh tunggu sampai tahun hadapan, mungkin akan ada harapan nanti,” katanya.

Wong berkata, restoran di Melaka menerima tempahan untuk jamuan hujung tahun, di mana restorannya sendiri mendapat dua tempahan.

Bagaimanapun, katanya, restoran-restoran masih dalam dilema memandangkan mereka risau tentang Covid-19. Jika ada seorang pelanggan dijangkiti virus, maka ia akan memberi kesan kepada restoran juga, kata Wong. – 30 Disember, 2020.

Iklan
Iklan