Iklan

Bagaimana rasuah tukar daging haram jadi halal di Malaysia

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago29th Dec 2020Berita
000 par6940043
Daging tidak disahkan halal lebih murah dan boleh memberi untung yang besar sekiranya dijual sebagai daging yang didakwa dari sumber sah halal. – Gambar AFP, 28 Disember, 2020.
Iklan

LAPORAN media akhir November mengenai pengangkutan mengimport daging sejuk beku tanpa kelulusan pihak berkuasa membawa kepada serbuan menggemparkan pada 1 Disember.

Apa yang berlaku?

Operasi mendapati daging sejuk beku tanpa kelulusan halal dari luar negara diseludup masuk dan dibungkus semula dan diedarkan sebagai daging halal.

Sindiket yang didakwa wujud dan beroperasi sejak 40 tahun dengan purata import bulanan lebih kurang 300 hingga 400 kontena yang setiap satu mampu memuatkan 25 tan daging.

Ia melibatkan daging tidak sah halal dari Kanada, United Kingdom, Uruguay, Sepanyol, Mexico, Bolivia, Paraguay, Hong Kong, China dan Columbia, China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Bahan itu termasuk daging pejal dan organ seperti paru-paru, ekor, perut dan tulang leher pelbagai ternakan termasuk kerbau, kuda dan kangaroo.

Malah, daging berkenaan juga dilaporkan melibatkan daging kangaroo dan kuda yang didakwa sebagai daging lembu halal.

Apa puncanya?

Daging merupakan bahan makanan asas utama di Malaysia dan individu yang terlibat membawa masuk daging tidak disahkan itu mahu meraih untung.

Ini kerana daging yang tidak disahkan halal lebih murah dan boleh memberi untung yang besar sekiranya dijual sebagai daging yang didakwa dari sumber sah halal.

Daging disahkan halal lebih mahal kerana perlu melalui proses pengesahan yang rumit di sepanjang rantaian bekalan termasuk status kesihatan ternakan, sembelihan, simpanan, pengangkutan dan jualan.

Kenapa dianggap haram?

Daging tersebut berpunca dari pembekal yang tidak diperakui dan tidak diaudit oleh pihak berkuasa Malaysia.

Ia berbeza dengan daging dari sumber yang disahkan halal selepas melalui pemeriksaan, audit dan pensijilan dari badan yang ditauliahkan pihak berkuasa Malaysia.

Dalam kes ini, bekalan tersebut didakwa dicampur dengan daging dari sumber yang disahkan halal dan kemudian dijual ke pasaran seluruh Malaysia.

Kerajaan hanya mengenal pasti 28 rumah sembelih yang sah di Australia, New Zealand, Argentina, Brazil, Pakistan dan Afrika Selatan.

Selain itu, 11 rumah sembelih kerbau dari India serta Pakistan juga diiktiraf.

Sijil sah import diberikan kepada negara pembekal seperti Australia, Argentina, Brazil, India, Afrika Selatan, Pakistan, Japan dan New Zealand.

Rumah sembelihan halal di Lenasia, Johannesburg. Malaysia hanya mengenal pasti 28 rumah sembelih yang sah di Australia, New Zealand, Argentina, Brazil, Pakistan dan Afrika Selatan. – Gambar AFP, 29 Disember, 2020.

Apa prosedur yang sepatutnya dipatuhi?

Menurut Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) produk import terbabit perlu diperakui mempunyai permit import, sijil kesihatan, sijil halal, sijil negara asal, invois, bill of landing serta senarai pembungkusan.

Seterusanya selepas diluluskan pada tahap itu, barangan terbabit masih perlu diperiksa secara fizikal termasuk maklumat komoditi, suhu, rumah sembelih, tarikh luput, keadaan fizikal barangan.

Siapa yang disyaki terlibat?

Pihak tersebut disebut sebagai kartel daging haram melibatkan rangkaian penguasaha dalam rantaian bekalan yang bermula dari pusat sembelihan hinggalah ke rak runcit.

Ia melibatkan syarikat pengimport, simpanan gudang, pengangkut dan juga syarikat percetakan yang mengeluarkan cap dan label halal palsu.

Satu lagi pihak ialah pegawai dari rangkaian agensi yang terlibat dalam pengawasan, penyeliaan dan pentauliahan untuk memberi kelulusan dan menjamin kemasukan daging halal.

Bagaimana kartel didakwa kerjasama dengan pegawai kerajaan?

Strategi sindiket adalah untuk mengelakkan cukai dan membayar kos sijil halal untuk mengaut keuntungan daripada harga import murah dan dijual mahal di pasaran tempatan.

Dengan itu, pegawai terlibat didakwa disogok termasuk dengan wang tunai dan percutian luar negara untuk memastikan barangan yang melanggar peraturan dibenarkan masuk ke pasaran.

Proses penyelewengan didakwa bermula di loji penyembelih di negara pembekal, di mana pegawai kerajaan Malaysia perlu memberi pengesahan halal dan kualiti.

Siapa agensi berkepentingan?

Selain Maqis, tanggungjawab dalam kes ini dipikul Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Selain itu, ia melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

KPDNHEP kini mengetuai siasatan bagi kes penyeludupan dan label halal palsu.

 

Bekalan daging yang tidak diluluskan sebagai daging halal dipercayai memasuki negara melalui Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas. – Gambar Facebook, 29 Disember, 2020.Ia merangkumi kaedah kartel membawa masuk daging haram dari sumber tidak sah dan status halal dan kualiti yang diragui dan membolosi pintu masuk utama sempadan negara.

Bagi isu integriti, semua badan ini bawah pengawasan polis dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimana daging haram ini diseludup dan dipasar?

Bekalan daging yang tidak diluluskan sebagai daging halal itu memasuki negara melalui Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Sindiket dipercayai akan menggunakan dokumen palsu termasuklah borang Kastam, permit import, sijil halal dan juga resit bayaran.

Ia dibawa ke gudang bersama dengan daging yang diimport daripada sumber yang sah.

Di gudang tersebut, daging dibungkus semula menggunakan tenaga kerja asing. Daging daripada sumber sah dan tidak sah dibungkus semula dengan cap dan label seakan-akan daging halal.

Daging berkenaan kemudiannya akan diedar dan dijual ke pasaran seluruh Malaysia.

Bagaimana kartel bolosi pengawasan?

Pengusaha yang didakwa terlibat dalam kartel ini dilaporkan arif dengan operasi pelabuhan termasuk penugasan penguatkuasa bagi melepasi kawalan pemeriksaan dengan dibantu “orang dalam”.

Kartel ini juga licik memalsukan dokumen seperti borang kebenaran untuk transit barangan dagangan dari satu zon bebas ke zon bebas yang lain.

Kartel ini perlu melalui kawasan utama kastam dan mengisytihar dagangan import yang dibawa keluar dari zon bebas ke kawasan utama kastam.

Pengangkutan barang seludup itu juga dilaporkan akan melalui laluan khas bagi melepasi pemeriksaan seterusnya bayaran rasuah dibuat kepada kakitangan yang bertugas di situ.

Laporan Berita Harian pada 21 Disember mendakwa beberapa kakitangan kerajaan, termasuk pegawai kanan agensi “dibeli” oleh kartel ini bagi melepasi pemeriksaan.

Bagi kes di Johor, kartel didakwa menggunakan sebuah pengimport buah-buahan dan beberapa syarikat tempatan sebagai proksi untuk mengimport daging sejuk beku secara tidak sah.

Hasil siasatan turut mendapati syarikat-syarikat proksi menggunakan nama syarikat milik Bumiputera bagi mengaburi mata pihak berkuasa, malah nama pemilik juga dipalsukan.

Bagaimana kegiatan ini dikesan

Maqis membuat risikan ke atas kartel berkenaan dengan menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku.

Ia membawa kepada serbuan bersepadu pada 1 Disember dan rampasan 1,500 tan daging sejuk beku bernilai RM30 juta dalam kotak dengan logo halal palsu di Senai, Johor.

Apa status siasatan?

SPRM mempunyai bukti kukuh bahawa kegiatan kartel dibantu anggota penguat kuasa termasuk kakitangan awam yang korup dalam siasatan agensi itu di Johor.

Pengarah SPRM Johor, Azmi Alias mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Timbalan Menteri KPDNHEP Rosol Wahid pula berkata, 29 pemeriksaan di premis borong serta 130 peruncit dijalankan setakat

Beliau juga berjanji akan mendedahkan identiti kartel dan syarikat terbabit.

Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Mohamad Al-Bakri pula mengumumkan kerajaan mempertimbangkan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Dirajaya untuk kes itu. – 29 Disember, 2020.

Iklan
Iklan