Iklan

Di mana fajar 2021 akan terbit?

Hasmi Hashim4 years ago31st Dec 2020Suara
Klcc
Tahun 2021 diharap membawa kegemilangan kepada negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2020.
Iklan

2020 tahun penuh malapetaka. Bermula dengan rampasan kuasa pada Mac yang mencetuskan penularan Covid-19 gelombang kedua dan ketidakstabilan politik, “Langkah Sheraton” telah mengakibatkan kebinasaan ekonomi kepada rakyat dan negara.

Tidak cukup itu, percubaan rampasan kuasa sekali lagi lima bulan kemudian, iaitu pada Ogos oleh Bersatu-Perikatan Nasional (PN) di Sabah mencetuskan pula pendamik gelombang ketiga yang lebih besar. Lebih 1,000-2,000 kes dicatat hampir setiap hari. Gila!

Trio Bersatu, Muhyiddin Yassin-Azmin Ali-Hamzah Zainuddin cuba pula mendapatkan perintah darurat pada Oktober—selepas enam bulan rampasan kuasa—tapi kita bersyukur kerana niat serong itu gagal!

Mujur ia tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong; malah tidak dipersetujui oleh rakan kongsi kuasa PN, yakni Umno.

Anwar Ibrahim terpaksa mengambil-alih Pakatan Harapan (PH) dalam keadaan ia hampir tenggelam.

Ramai menteri Kabinet di era PH itu sendiri yang membuatkan kapal PH bocor dan terumbang-ambing. Sebahagiannya telah pun meninggalkan PH ketika imej PH sangat teruk tercalar diakibatkan oleh mereka.

Sebenarnya kalau Anwar tidak mengambil tanggungjawab untuk menyelamatkan PH, beliau lebih bebas untuk menentukan rentak politik serta memperkukuh partinya sendiri, PKR.

Sejak lebih dua dekad, PKR sudah terlalu banyak mengalah sehingga pimpinannya yang menyeberang ke parti rakan atau kerusi PKR diambil saat akhir pun, PKR tetap bersabar.

PH memang bukan sesuatu yang dibangunkan Anwar secara langsung. Dia di penjara ketika PH dipersiapkan Dr Mahathir Mohamed untuk menumbangkan Najib Razak.

Asal kepada PH ialah Pakatan Rakyat: nama yang lebih tepat dan harum.

Itulah sebabnya, logo PH bukan logo yang mewakili keseluruhan imej parti gabungan.

Logo PH hanya mirip logo sayap Pemuda Bersatu, iaitu Armada dengan kepala anak panah menggantikan huruf “A”. Warnanya pun merah dengan tulisan putih; persis logo Bersatu.

Oleh demikian, pemimpin Bersatu waktu itu, khususnya Dr Mahathir secara halus mahu menggambarkan PH dikuasai oleh parti barunya, Bersatu.

Sedangkan Bersatu bukan parti asal kepada gabungan utama pembangkang. Bersatu parti setahun jagung.

Ia hanya menang 13 kerusi Parlimen di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu. Seperti yang kita tahu, Bersatu segera diperkuatkan oleh mereka yang melompat dari Umno, ke parti berkenaan.

Langkah mencuri ahli Parlimen Umno, dan ditambah dengan permainan dalang kepada “Langkah Sheraton” mencipta imej jelas Bersatu sebagai “parti pengkhianat.”

Maka pada PRU akan datang, musuh utama bukan lagi Umno, tetapi parti pengkhianat besar itu.

Melawan Bersatu sebenarnya lebih mudah ketimbang menentang Umno selama puluhan tahun lalu. Sebabnya, Bersatu tidak mempunyai akar umbi sekuat Umno.

Bersatu parti atas angin; parti bangsawan yang tidak menjejak bumi.

Bersatu juga tidak mempunyai sejarah perjuangan sehebat Umno. Parti itu tidak lahir daripada perjuangan rakyat seperti Umno mahu pun PKR. Ia parti dendam Mahathir-Muhyiddin terhadap Najib. Titik.

Kalau ditakdirkan wujud gabungan Umno-PH, khasnya kerjasama Umno-PKR, maka Bersatu-PN akan lebih mudah untuk ditumbangkan sepertimana tumbangnya PN dan menteri besar Bersatu di Perak, Ahmad Faizal Azumu awal Disember lalu. 

Gabungan Bersatu-PAS hanya memperolehi 10 suara, sementara gabungan PH-Umno memperolehi 48 suara.

Angka 10-48 itu juga membayangkan kekuatan sebenar Bersatu-PN yang sangat kerdil dalam politik Malaysia.

“Formula Perak” dan penjajaran baharu juga bakal membuka ruang untuk Umno kembali bertapak di negeri-negeri teras Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. 

Bezanya bersama PN, Umno pasti tidak akan ada peluang untuk menguasai semula ketiga negeri berkenaan.

Bersama Muafakat Nasional (MN) apatah lagi, dengan PAS pasti membolot dan berusaha memperkukuhkan pengaruhnya di sana.

Namun saya tidak fikir Umno akan berani sampai ke tahap meninggalkan MN, mahupun PN. 

Sampai detik ini, parti terbesar orang Melayu itu nampaknya lebih rela mati ditikam oleh Bersatu atau disembelih pelan-pelan oleh PAS; daripada menghulurkan salam kepada Anwar mahupun PKR.

Segelintir pemimpin Umno telah menjadikan slogan “no Anwar, no DAP” sebagai istighfar mati mereka.

Apa yang diabaikan ialah di sepanjang 11 kali PRU sejak 1978, pencapaian Umno-BN sering merosot sedikit demi sedikit. 

PRU pertama setelah Dr Mahathir menjadi PM iaitu pada 1982 pun tidak sebaik pencapaian dalam PRU sebelumnya. Dan sepanjang 22 tahun menjadi PM, pencapaian Umno-BN yang terbaik dan meningkat semula ialah pada 1995.

Di sana, ada bayangan bahawa Umno akan berubah dengan Anwar menjadi timbalan perdana menteri. Ketika Anwar dipecat pada 1998, PRU 1999 menyaksikan pencapaian Umno merudum sekali lagi.

Dan sejurus Dr Mahathir melepaskan jawatan PM pada 2003, pencapaian Umno-BN naik mendadak dalam PRU 2004. Tapi hanya sekali. 

Malah tahun berkenaan merupakan PRU terakhir rekod cemerlang Umno-BN sebelum merosot pada 2008, 2013 dan kalah pada 2018.

Di sepanjang tempoh itu juga, Umno-BN pernah kehilangan Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak, Selangor bahkan Sabah.

Jejak sejarah di atas sebenarnya menjadi asas dan bukti bahawa tanpa penjajaran dan formula baharu, Umno-BN tidak akan punya masa depan.

PN yang cuba meniru formulasi “BN lama” juga tidak ada asas untuk diterima oleh rakyat. PN akan gulung tikar lebih awal lagi.

Apa yang diperlukan menjelang fajar tahun 2021 ialah penjajaran dan formulasi baharu politik Malaysia masa depan. 

Rakyat sudah tidak dapat menerima compang-camping politik PH dan kerosakan yang ditinggalkan Mahathir di dalamnya.

Rakyat juga sangat sukar untuk terus mendakap usangnya politik BN, dan apatah lagi khianat serta munafiknya politik PN… nauzubillahminzalik!

Gabungan raksasa sepertimana yang kuat dicadang oleh Amanah—dan segelintir pimpinan DAP—juga tidak menawarkan vaksin sebenar kepada penyakit yang melanda bangsa dan negara.

Gabungan besar itu hanyalah ulang tayang keadaan sebelum PRU ke-13 ketika Dr Mahathir mendirikan PH. “Dadu” yang sama tidak boleh dilempar dua kali.

Mungkin di antara simpang-siur inilah, mata dan hati rakyat sedang menjeling ke arah PKR. Ia sebuah “parti Melayu” dalam erti kata tradisi politik Malaysia; namun ia juga parti untuk semua rakyat Malaysia untuk hidup rukun damai. 

Apatah lagi simpati ramai tetap terpendam kerana PKR adalah satu-satunya parti yang sekarang ditikam kirikanan sama ada oleh Dr Mahathir, Muhyiddin, Azmin, Warisan, PAS dan yang lain-lain.

Cuba suara simpati itu belum terdengar kerana pertarungan hidup di dalam pendamik dan kemelesetan ekonomi sekarang lebih utama. 

Namun sepertimana kita semua dengan ikhlas mengucapkan “selamat tahun baru 2021”; rakyat juga tetap selalu ada hati nurani. – 31 Disember, 2020. 
 

* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

Iklan
Iklan