Iklan

Syarikat e-hailing baharu bakal wujudkan 10,000 peluang kerja, kata pengasas bersama

Elill Easwaran4 years ago31st Dec 2020Berita
Transporter ehailing tmikamal 01
CEO Transporter, Ballagee Chandra (kiri) bersama Pengarah Operasi, Nanda Gopal semasa pelancaran Transporter di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 31 Disember, 2020.
Iklan

PENYEDIA perkhidmatan e-hailing dan pelbagai perkhidmatan baharu, Transporter, merancang mewujudkan 10,000 peluang kerja tahun depan, dengan matlamat menambah pendapatan kepada mereka yang terjejas oleh kelembapan ekonomi, kata pengasasnya Ballagee Chandra.

Beliau berkata Transporter, yang dilancarkan hari ini, juga menjanjikan perkhidmatan penghantaran makanan paling selamat, bersih dengan harga berpatutan untuk pelanggannya.

“Kami percaya Transporter akan memberi manfaat kepada banyak orang, terutama mereka yang hilang pekerjaan dan juga yang mencari pendapatan sampingan,” kata Ballagee yang juga ketua pegawai pengangkut Transporter.

“Matlamat kami sekarang adalah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 1,000 pekerjaan baharu bagi setiap fasa dan unjuran kami untuk 2021 adalah 10,000 pekerjaan baharu,” tambahnya.

Beliau berkata platform itu akan membantu banyak PKS yang bergelut untuk menembusi pasaran disebabkan wabak Covid-19.

“Kami juga akan melatih dan melatih semula pemandu kami di bawah program ‘Land A Hand’ (LAH) untuk membantu meningkatkan peluang pendapatan dan pertumbuhan kerjaya.

“Kami juga mensasarkan menyediakan laluan kerjaya yang adil dan juga melindungi punca pendapatan rakan kongsi kami.

“Sebahagian daripada pendapatan akan disuntik ke dalam dana kami sendiri yang akan digunakan untuk membantu mendidik, melengkapkan dan memperkasakan komuniti sasaran terdiri daripada pelajar sekolah, belia, ibu bapa tunggal, golongangan dewasa, warga emas, daripada semua lapisan masyarakat,” kata Ballagee.

Buat masa ini, Transporter hanya tersedia di kawasan Lembah Klang, dan merancang menawarkan perkhidmatan ke seluruh negara pada akhir 2021.

“Transporter bersemangat menawarkan hanya perjalanan, perkhidmatan makanan dan penghantaran makanan paling berpatutan, selamat dan bersih,” katanya.

Sementara itu, ketua strategi syarikat Gerard Pillai berkata mereka berjaya mendapatkan lebih 120 premis makanan dan minuman di bawah platform mereka dalam masa dua minggu.

“Jangkaan kami untuk tahun depan adalah mempunyai sekitar 200-300 tempahan setiap hari.

“Kami akan memberikan 88% daripada jualan kepada penunggang dan 12% untuk kami, yang lebih daripada mencukupi berdasarkan kiraan kami,” katanya. – 31 Disember, 2020.

Iklan
Iklan