Petugas barisan hadapan kenang pahit getir 2020 lawan Covid-19
Iklan
PETUGAS barisan hadapan di seluruh dunia diberi penghormatan sebagai “Guardians of the Year for 2020” oleh majalah Time, dan di Malaysia mereka juga adalah wira negara atas usaha keras mereka menangani pandemik Covid-19.
Tidak ketinggalan juga anggota unit beruniform dan pekerja penghantaran yang menjadi nadi sepanjang tempoh sekatan pergerakan.
The Malaysian Insight menemu ramah beberapa petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus sejak 10 bulan yang lalu, sejak pandemik Covid-19 melanda negara. Meskipun tugas menuntut pengorbanan dan kesabaran yang tinggi serta menguji emosi, mereka berasa puas dan bangga atas bakti yang dicurahkan.
Seorang doktor yang hanya mahu dikenali sebagai Priya berkata cabaran paling getir ketika bertugas melawan pandemik adalah terpaksa berjauhan dari keluarga kerana perlu merawat pesakit di hospital.
“Waktu bekerja saya bertambah kerana kami perlu sentiasa bersedia menerima pesakit yang dijangkiti Covid-19, selain tugas rutin di hospital.
“Kami lakukan semua ini tanpa kenaikan gaji walaupun ada elaun RM600 sebulan bagi yang merawat pesakit Covid-19.
“Pengorbanan paling besar bagi saya ialah apabila tak dapat berjumpa keluarga dan rakan. Saya tak boleh jumpa mereka kerana bimbang mereka akan dijangkiti, sebab mungkin saya juga dijangkiti tanpa sedar. Bagaimanapun, saya sedar semua ini demi negara.
“Namun, saya agak bernasib baik kerana suami juga seorang doktor. Kami sama-sama merawat pesakit Covid-19, kami bekerja di bawah satu bumbung dan dapatlah berjumpa,” kata Priya, 36 tahun.
Seorang lagi doktor di sebuah hospital kerajaan, yang hanya mahu dikenali sebagai Siva, 42, mengimbas kembali ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu. Semua kakitangan hospital terpaksa menyesuaikan diri dengan norma baharu dan beban kerja yang naik mendadak akibat virus yang tidak pernah diketahui.
“Saya sangat takut untuk bersama keluarga sebab bimbang mereka akan dijangkiti, kerana orang tua saya di rumah lagi mudah terdedah pada jangkitan.
“Walaupun menyedari saya merisikokan diri saya sendiri, namun inilah sebab utama mengapa saya mahu menjadi seorang doktor, iaitu menyelamatkan nyawa orang lain. Saya gembira kerana saya turut membantu negara melawan pandemik ini,” kata Sisva.
Bagi Ariq Imran, yang bekerja sebagai penghantar GrabFood, walaupun waktu bekerja dipendekkan kepada sehingga 7 malam sepanjang PKP, namun jumlah pesanan pelanggan setiap hari amat diluar jangkaan.
“Saya bekerja setiap hari kerana ayah saya diberhentikan kerja. Jadi, sekarang sayalah pencari nafkah utama keluarga,” kata pemuda berusia 22 tahun itu.
“Saya masih ingat lagi, saya dan rider (penghantar) lain terpaksa makan di tepi jalan sebab pada masa itu tak boleh makan di kedai.
“Saya juga bersyukur ada pelanggan yang beri tip, jadi saya dapat duit tambahan.”
Bagi seorang anggota polis muda dari Cheras, yang hanya mahu dikenali sebagai Saren, beliau berkata waktu bekerjanya sepanjang tempoh PKP juga dipendekkan kepada 8 jam berbanding 12 jam sehari sebelum ini.
“Saya ingin nasihatkan orang ramai supaya sentiasa patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) walaupun berada di rumah atau semasa bersama rakan dan keluarga,” kata Saren, 25, sambil menegaskan semua orang tidak boleh leka walaupun sekatan pergerakan di kebanyakan negeri dilonggarkan.
“Fikirkanlah petugas kesihatan dan petugas barisan hadapan lain seperti kami yang terpaksa berjauhan dari keluarga. Anda semua juga berperanan untuk membendung jangkitan, kerana ini akan mengurangkan beban doktor, jururawat dan petugas kesihatan lain.”
Tiada tanda-tanda pandemik Covid-19 akan reda memasuki tahun baru 2021 ini, ditambah pula kerajaan melonggarkan sekatan pergerakan untuk merancakkan kembali ekonomi negara, Priya menggesa masyarakat sentiasa mengingati pengorbanan petugas barisan hadapan.
“Sekatan mungkin akan dilonggarkan atau tiada langsung, tetapi fikirkanlah tentang kami yang terpaksa berjauhan dari orang tersayang untuk memastikan kita semua selamat dan merawat mereka yang dijangkiti Covid-19,” kata doktor itu. – 3 Januari, 2021.