Iklan

SOP Covid-19 cetus suasana tegang di kondo Brickfields

Elill Easwaran4 years ago9th Jan 2021Berita
Scott sentral tmikamal 01
Persatuan penduduk dakwa ekspatriat menyewa di kondominium Scott Sentral di Brickfields, Kuala Lumpur sengaja abai SOP Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Januari, 2021.
Iklan

EKSPATRIAT yang tinggal di kondominium Scott Sentral di Brickfields, Kuala Lumpur tidak mengendahkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan bagi membendung penularan Covid-19, kata persatuan penduduk.

Pengerusi persatuan Chandra Ramprakash berkata mereka perlu mematuhi undang-undang negara ini dan mengikut SOP, susulan ada beberapa antara ekspatriat terbabit bertegas mahu menggunakan kemudahan di kawasan perumahan itu.

Chandra berkata ekspatriat gagal memahami yang semua kemudahan tidak boleh dibuka susulan arahan SOP kerajaan.

“Ekspatriat mendesak kemudahan awam dibuka dan bila kita sebut peraturan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), mereka bantah.

“Hampir setiap hari, ekspatriat ini berkumpul dalam jumlah ramai di mana hampir 100 orang dalam kawasan 3,000 kaki persegi.

“Persatuan penduduk percaya, sebagai ekspatriat mereka sepatutnya menghormati undang-undang negara ini yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

“Kami ada perkhidmatan lima bintang di kondominium ini di mana kami memastikan kebersihan dan semuanya tetapi budaya seperti ini daripada penyewa di mana mereka mendesak berlebihan, mereka ingat ini adalah hotel, perlu dihentikan.

“Kami tidak kisah mereka guna gimnasium, kolam renang dan semua itu, iaitu hanya seorang pada satu-satu masa, tetapi mereka selalu datang dalam kumpulan, di mana tindakan itu tidak boleh dibenarkan,” katanya ketika sesi dialog bersama ekspatriat pada hujung minggu lalu.

Penduduk tempatan menyokong penutupan kemudahan awam kerana kebanyakan daripada mereka adalah warga emas, iaitu kategori berisiko tinggi terhadap jangkitan, katanya.

“Saya lebih suka jika kemudahan awam ini ditutup, berbanding dibuka untuk membolehkan orang ramai berkumpul dan akan menyebabkan risiko penularan,” kata penduduk tempatan, Mohan, 53.

Menurut Chandra, keadaan jadi ganas dan tegang apabila ekspatriat memilih menyelesaikan tuntutan itu dengan cara vandalisme.

Presiden persatuan penduduk Chandra Ramprakash berkata ada beberapa antara ekspatriat terbabit bertegas mahu menggunakan kemudahan di kawasan kondominium itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 Januari, 2021.

Bagaimanapun, ekspatriat berkenaan berkata kemudahan berkenaan adalah sebahagian kelebihan yang boleh dinikmati sebagai penduduk.

Katanya, mereka membayar sewa tepat pada masa, oleh itu patut dibenarkan menggunakan kemudahan awam seperti kolam renang, gimnasium dan gelanggang skuash.

“Saya bayar sewa tepat pada masa, sebab itu saya mahu mendesak supaya kemudahan ini dibuka,” kata seorang penyewa dikenali sebagai Akshant, 39.

Seorang lagi penyewa yang mahu dikenali sebagai Gaurav, 37, berkata tuan rumah tidak menawarkan diskaun, “sebab itu saya mahu menggunakan sepenuhnya apa yang saya bayar”.

Terdapat kira-kira 700 penduduk di kondominium itu dengan 500 daripadanya adalah penyewa, dan majoriti penyewa adalah ekspatriat dari India.

Sementara itu, ejen pengusan John Sebastian berkata kondominium itu ada peraturan, dan jika penyewa tidak suka, mereka bebas untuk berpindah ke tempat lain.

“Kami sebagai pengurus akan cuba yang terbaik tetapi kerana keadaan semasa, kami terpaksa ambil tindakan sangat drastik.

“Kawasan sekitar kondominium di sini semua ada kes positif Covid-19, sebab itu kami mengambil pendekatan penguatkuasaan SOP yang ketat kerana tidak mahu perkara sama berlaku di sini.”

Pemilik rumah, Viraj Dolhker, 40, berkata salah faham dalam komunikasi antara kedua-dua pihak menyebabkan keadaan yang tegang.

Katanya, semua penduduk di kondominium itu mematuhi peraturan Covid-19.

“Penyewa tidak faham pandangan persatuan penduduk, sebab itu mereka datang ke sesi dialog ini,” kata Viraj, yang juga ekspatriat dan tinggal di situ sejak 10 tahun lalu. – 9 Januari, 2021.

Iklan
Iklan