Iklan

Akauntan GLC didakwa pecah amanah, guna wang syarikat

Radzi Razak7 years ago26th Dec 2017Berita
Iklan

SEORANG penanggung (receiver) lantikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) didakwa di mahkamah hari ini atas tuduhan pecah amanah kerana mengeluarkan wang sebuah syarikat yang diuruskan beliau untuk kegunaan sendiri.

Wan Mohamad Shukri Wan Kadir, 47 akauntan yang dilantik GLC Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) didakwa menunaikan dua keping cek syarikat reka bentuk grafik, Simfoni Maya Sdn Bhd berjumlah RM10,600 di Bank Islam Cawangan Taman Tun Dr Ismail antara 24 hingga 29 Oktober 2014.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda, jika disabit kesalahan.

Mohamad Shukri yang kini bekerja sebagai akauntan ditugaskan sebagai penanggung dan pengurus syarikat tersebut antara Mac 2013 dan 2014 tidak mengaku salah selepas tuduhan dibacakan.

Beliau juga merupakan pegawai yang bertanggungjawab menguruskan operasi pembubaran sesebuah syarikat.

Ini merupakan kali pertama seorang penanggung syarikat dihadapkan ke mahkamah kerana pecah amanah.

Majistret Mohd Azali Ibrahim meminta jaminan RM10,000 dengan satu penjamin selain pasport Wan Mohammad Shukri diserah kepada mahkamah.

Bagaimanapun jaminan dikurangkan kepada RM3,500 dengan seorang penjamin atas permintaan peguam Afifuddin Mohd Hafifi kerana beliau mempunyai tanggungan isteri dan empat anak.

Mahkamah Majistret Petaling Jaya kemudiannya menetapkan 25 Januari 2018 untuk sebutan semula kes. – 26 Disember, 2017.

Iklan
Iklan