Iklan

Tuduhan terlibat jual daging haram, syarikat fail saman fitnah RM50 juta

Elill Easwaran4 years ago9th Jan 2021Berita
Raihanah cold storage fake halal pc 02
Menurut Rahman, yang merupakan pemilik Raihanah Cold Storage, komen yang dibuat di Facebook tersebut sangat kasar dan bahkan membuat beliau tidak dapat tidur malam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2021.
Iklan

SEBUAH syarikat yang mencetuskan isu kontroversi daging import menyaman salah seorang pendakwa yang menuduhnya mengedar daging tidak halal ke mahkamah, kata peguamnya.

Haaziq Pillay berkata, Raihanah Cold Storage akan mengemukakan tuntutan saman fitnah sebanyak RM50 juta kepada Abdul Zarin Mohd Yasin atas kenyataan Facebook beliau mengenai dakwaan tersebut.

“Saman ini melibatkan tuduhan yang dibuat Abdul Zarin Mohd Yasin dalam Facebook di mana kata-kata itu menunjukkan bahawa Rahman Sheikh Abdullah, Raihanah Kassim dan Raihanah Cold Storage Sdn Bhd terlibat dengan penjualan daging yang haram.

“Status yang dibuat Zarin Yasin telah menarik sebanyak 824 komen dan 1,900 perkongsian,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel Petaling Jaya hari ini.

Menurut Rahman, yang merupakan pemilik Raihanah Cold Storage, komen yang dibuat di Facebook tersebut sangat kasar dan membuat beliau tidak dapat tidur malam.

“Saya juga telah menerima ugutan bunuh melalui telefon yang telah saya laporkan ke balai polis di Taman Perling, Johor,” katanya

Rahman turut menambah, pada 1 Januari lalu Jakim datang ke kilang beliau dan melakukan pemeriksaan namun mereka tidak menemui sebarang bukti bahawa syarikat itu mengedarkan daging tidak halal.

“Kami telah memberikan lapan hari untuk Zarin Yassin menjawab tuntutan kami iaitu menarik balik kenyataan itu, meminta maaf kepada Rahman dan juga pampasan sebanyak RM50 juta dan jika dia tidak menjawab dalam waktu yang ditentukan, kami akan bawa ke mahkamah,” kata Hazziq Pillay.

Tahun lalu syarikat pembekal daging itu dan dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Baharu kerana menggunakan logo halal tanpa perakuan pihak berkuasa awal bulan ini.

Raihanah Cold Storage Sdn Bhd, yang diwakili pemilik dan pengarahnya, Rahman Sheikh Abdullah, 44, dan isterinya, Raihanah Kasim, 42, didakwa sebagai pemilik dan pengarah syarikat Raihanah Enterprise, memohon perbicaraan di hadapan hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Tuduhan terhadap Raihanah Cold Storage dibuat di bawah Perintah Penerangan Perdagangan (Pensijilan dan Penandaan Halal) 2011, yang boleh dikenakan denda maksimum RM200,000 dan untuk setiap kesalahan berikutnya, sebanyak RM500,000 jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya T. Ashvinii memhon jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin masing-masing bagi pertuduhan kedua, dengan alasan isu itu mendapat liputan media dan turut dibangkitkan di Parlimen.

Peguam Lau Kok Guan dan Noor Liana Hashim, bagaimanapun, meminta ikat jamin yang lebih rendah, dengan mengatakan syarikat defendan yang memiliki 20 pekerja, masih beroperasi dan pasangan itu mempunyai empat orang anak, berusia antara 10 hingga 20 tahun.

Mahkamah membenarkan pasangan itu diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Januari untuk sebutan semula kes

“Sekiranya anda bertanya kepada, ini adalah satu bentuk fitnah, jadi jika kami terpaksa pergi bawa ke mahkamah untuk mengajukan saman ini, kami berharap keadilan akan dilaksanakan,” kata Haziq. – 9 Januari, 2021.

Iklan
Iklan