Iklan

Semakan MM2H di peringkat akhir, ejen berharap program disambung Mac depan

Khoo Gek San4 years ago10th Jan 2021Berita
Iklan

PROGRAM Malaysia MySecond Home (MM2H) mungkin akan disambung semula pada bulan Mac atau April susulan isyarat yang diberikan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Nancy Shukri kepada ejen dan perunding MM2H.

Secara rasmi dibekukan sejak Ogos tahun lalu, ketidakpastian mengenai bila ia akan disambung semula menyebabkan banyak kesulitan. Hal ini termasuk kehilangan pendapatan bagi ejen dan perunding, selain pemberhentian pekerja. 

Sebelum Ogos tahun lalu, pemegang visa MM2H serta pemohon baharu tidak dapat memasuki Malaysia kerana sempadan ditutup akibat pandemik Covid-19 sejak Mac 2020.

Presiden Persatuan Ejen MM2H Anthony Liew berkata bahawa wakil kumpulan itu bertemu dengan Nancy pada 20 Disember lalu, selepas menteri itu berkata perincian program yang dirombak masih dalam proses peringkat akhir, menunjukkan bahawa ia akan dimulakan semula pada bulan Mac atau April.

The Malaysian Insight menghubungi Nancy bagi mengesahkan tarikh penyambungan semula program itu, namun beliau tidak memberikan sebarang jawapan berhubung isu tersebut.

Program tersebut yang membolehkan Malaysia mendapat aliran RM40 bilion pada tahun 2020, selepas dilancarkan pada 2018, memberikan warga asing memiliki visa masuk selama sepuluh tahun yang boleh diperbaharui. Ia diberikan kepada pemohon yang mempunyai penaja dan memiliki kemampuan kewangan yang mencukupi untuk tinggal di Malaysia tanpa pekerjaan atau bantuan daripada kerajaan.

Mereka juga dibenarkan membawa tanggungan mereka dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah tempatan, selain dibenarkan untuk memiliki hartanah yang bernilai RM1 juta per unit. Selain itu, mereka juga disyaratkan untuk menyimpan sejumlah dana dalam akaun simpanan tetap di negara ini. Mereka juga dibenarkan melabur dalam perniagaan di Malaysia namun tidak boleh menjalankan operasi harian tanpa permit.

Tidak jelas tujuan semakan

Keputusan kementerian untuk membekukan program dan menghentikan permohonan baharu juga tidak pernah dijelaskan selain alasan untuk mengkaji prosedur program tersebut.

Bagaimanapun Liew berkata beliau percaya bahawa kajian itu mungkin berkaitan dengan penyalahgunaan visa.

Beliau menambah bahawa wujud kes melibatkan pemegang visa yang ditahan kerana melakukan aktiviti haram, seperti perjudian dalam talian, namun ia adalah kes terpencil.

“Jumlahnya sangat kecil, jadi tidak jelas mengapa perlu kelam kabut sehingga program perlu dibekukan,” katanya.

Malahan, kata Liew lagi, prosedur juga telah diperketat dari semasa ke semasa sejak sekian lama, seperti syarat pensijilan tambahan untuk pemohon dari negara tertentu.

“Kami bersetuju bahawa jika ada kelemahan, prosesnya mesti dikaji semula. Tetapi tidak perlu membekukan program sementara menunggu kajian siap. “

Ejen MM2H lain yang tidak mahu disebutkan nama berkata bahawa kajian semula program tersebut oleh kerajaan mungkin disebabkan penyerahan dokumen palsu. Hal yang sukar disahkan adalah dokumen kewangan dari negara asal pemohon.

Perunding MM2H Patrick Ho berharap kajian ini dapat mengatasi masalah tersebut dan program dapat disambung semula secepat mungkin.

Beliau turut menyatakan rasa kecewa kerana program ini tidak disambung bulan ini, seperti yang diharapkan, kerana menteri sebelum ini berkata kajian itu akan selesai pada bulan Disember.

“Kementerian tidak memberikan arahan yang jelas dan jawapannya tidak jelas,” katanya.

Patrick telah menangguhkan semua permohonan yang ditangani sebelum pembekuan, dan pemohon telah menyerangnya dengan pelbagai pertanyaan ketika mereka selesai menyerahkan dokumen mereka.

Pemohon turut memberitahu beliau bahawa mereka akan menunggu hingga perayaan Tahun Baru Cina tahun ini dan jika tidak ada kemas kini daripada pihak berkuasa, mereka merancang untuk menarik balik permohonan mereka dan meminta pengembalian wang rundingan.

Itu akan menyebabkan masalah aliran tunai kepada beliau, kerana yuran pemohon telah digunakan untuk membayar perbelanjaan semasa pandemik Covid-19 apabila pendapatan beliau hampir tidak ada.
 
“Saya sangat berharap program ini akan disambung semula dan saya tidak perlu membayar balik dan dapat menguruskan borang permohonan mereka,” kata Ho. – 10 Januari, 2021.

Iklan
Iklan