Iklan

Sukarelawan dakwa penderma ganggu kelancaran dapur jalanan 

Elill Easwaran4 years ago11th Jan 2021Berita
Soup kitchen homeless tmikamal 05  full
Pertiwi mengedarkan makanan tengah hari dan malam setiap hari kecuali Selasa dan Khamis bagi mengelakkan pertindihan dengan pengendali dapur jalanan lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari, 2021.
Iklan

KUMPULAN dan sukarelawan ad hoc atau sementara didakwa mengganggu kelancaran pengagihan makanan percuma kepada golongan gelandangan dan miskin bandar.

Sukarelawan sebuah badan amal terkenal memberitahu The Malaysian Insight, kumpulan ini meninggalkan makanan di tempat yang tidak sepatutnya dan tidak menjalankan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 termasuk penjarakan fizikal.

Pengasas Pit Stop Community Café’s Joycelyn Lee berkata situasi bertambah teruk sejak beberapa bulan lalu kerana makanan banyak diletakkan di kaki jalan, menyebabkan orang ramai berpusu-pusu untuk mengambilnya.

“Kita lihat banyak kumpulan yang beri makanan kepada gelandangan di Kuala Lumpur sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan pada Jun lalu.

“Kumpulan ini kebiasaannya tidak ikut protokol, seperti penjarakan fizikal,” kata Lee.

Kafe Lee yang terletak di Jalan Tun H.S Lee, mengedarkan bungkusan makanan empat hari dalam seminggu dan menjadi tumpuan gelandangan.

Sebanyak 80 bungkusan makanan diedarkan dari kafe itu, manakala 60 lagi dari Anjung Singgah, dan 30 bungkusan akan dihantar ke rumah anak yatim.

Bagi Munirah Abdul Hamid yang mengasaskan dapur jalanan, Pertiwi, beliau menggesa kumpulan ad hoc ini tidak menyukarkan kerja-kerja mereka, malah tindakan kumpulan ini menjadikan seolah-olah jumlah gelandangan semakin meningkat di Kuala Lumpur.

Kata Munirah, dakwaan kumpulan ad hoc ini, bahawa semakin ramai orang kini jadi gelandangan adalah tidak benar.

“Ada keluarga yang datang ke tempat tertentu dan menunggu edaran makanan. Penderma merakam dan kongsikan video di media sosial. Ini sangat mengewakan.

“Mereka rakam untuk tunjukkan perbuatan baik mereka, tetapi ini menyebabkan lebih ramai kumpulan derma makanan, sehingga membazir.

“Saya menggesa kumpulan-kumpulan ini beri kerjasama dengan tidak menambahkan lagi kerja DBKL dan kami dalam memastikan Kuala Lumpur bersih dan kanak-kanak selamat,” kata Munirah.

Pertiwi mengedarkan makanan tengah hari dan malam setiap hari kecuali Selasa dan Khamis bagi mengelakkan pertindihan dengan pengendali dapur jalanan lain.

Pertiwi yang kebiasaannya beroperasi di Lorong Medan Tuanku 2, kini beralih ke sebuah restoran berdekatan.

Gelandangan selepas hilang kerja

Beberapa individu yang The Malaysian Insight temu bual berkata mereka terpaksa menjadi gelandangan selepas hilang pekerjaan sejak beberapa bulan yang lalu.

Daniel Chin, 34, yang berasal dari Kedah, berkata beliau sebelum ini bekerja di sebuah restoran di Kuala Lumput sebelum dibuang kerja hampir dua bulan lalu.

“Restoran ditutup sebab rugi. Sejak itu, saya terpaksa tidur di jalanan,” katanya.

Chin berkata beliau ada simpanan yang cukup untuk pulang ke Kedah tetapi ambil keputusan untuk tinggal sahaja di Kuala Lumpur.

“Hidup di sana lagi susah.”

Seorang lagi gelandangan, Arif Zaini, 38, hilang pekerjaan beberapa bulan lalu akibat pendemik Covid-19.

“Saya ada anak dan isteri di Kelantan, dan mereka semua bergantung pada saya.

“Sebelum ini saya bekerja di sebuah pasar mini, tapi disebabkan perniagaan rugi, majikan terpaksa tutup kira-kira sebulan lepas.

“Jadi, sekarang ini saya kutip tin dan botol kosong untuk dijual di pusat kitar semula.

“Saya tidur di kaki jalan, tak menyewa bilik. Jadi, duit yang saya dapat saya hantar ke kampung,” katanya.

Bagi Shafiq Abdul, 56, pula sudah lebih dua tahun beliau tidur di jalanan.

“Anak-anak tak pernah pedulikan saya sejak berkahwin. Saya pun tak mampu nak bayar sewa rumah, sebab itu saya jadi gelandangan.

“Sebenarnya, saya gembira juga sebab tak payah fikir banyak perkara. Memang ada masa saya rindukan anak-anak, tapi saya tak tahu mereka duduk di mana. Saya bersyukur ada ramai kawan yang gembirakan saya setiap kali saya bersedih,” katanya. – 11 Januari, 2021.     

Iklan
Iklan