Iklan

Polis ikut budi bicara di awal PKP, kata KPN

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago12th Jan 2021Berita
Hamid
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata orang ramai yang terkandas di kampung perlu kembali ke kediaman masing-masing sehingga Jumaat ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2021.
Iklan

POLIS akan menggunakan budi bicara dalam membenarkan orang awam yang terkandas pulang ke tempat mereka bekerja dalam tempoh tiga hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata orang ramai yang terkandas di kampung halaman atau bercuti sebelum PKP dibenarkan untuk pulang tempat asal mereka sehingga Jumaat ini.

“Saya sudah beri peringatan kepada semua petugas PDRM untuk menggunakan budi bicara yang tinggi kepada mereka yang terkandas ini.

“Ini termasuk kepada mereka yang sudah membeli tiket penerbangan untuk balik ke tempat asal seperti Sabah dan Sarawak namun tempoh berkenaan hingga Jumaat ini,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Menurutnya, lebih 300 sekatan jalan raya akan dilaksanakan di seluruh negara mulai tengah malam ini.

“Sekatan jalan raya juga dijangka akan bertambah dan saya mempunyai kekuatan anggota yang cukup untuk berbuat demikian.

“Seramai 48,000 pegawai, anggota polis akan bertugas dalam tempoh PKP manakala 12,000 lagi dalam keadaan ‘standby’,” katanya.

Abdul Hamid turut mengesahkan kerajaan sedang memperhalusi beberapa cadangan dalam meningkatkan penguatkuasaan dalam PKP.

Menurutnya, cadangan itu merangkumi meningkatkan tahap kompaun terhadap mereka yang melakukan kesalahan berulang terutamanya di pusat hiburan.

“Saya boleh sahkan kerajaan akan menerima beberapa cadangan namun saya serahkan kepada menteri kanan pertahanan untuk membuat pengumuman berhubung perkara itu,” katanya.

Pelaksanaan PKP di enam negeri selama 14 hari mulai esok yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam adalah usaha berterusan sejak awal 2020 untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Enam negeri terbabit adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah, manakala enam lagi negeri - Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) sementara PKP Pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak, untuk tempoh sama.

Sebelum ini, PKP dikuat kuasa dalam empat fasa selama 47 hari, mulai 18 Mac 2020 hingga 3 Mei 2020. – 12 Januari, 2021.

Iklan
Iklan